UMNO Bahagian Putrajaya Teruskan Usaha Bantu Rakyat, Laksana Ziarah Kasih

PUTRAJAYA, 19 Dis – UMNO Bahagian Putrajaya terus aktif melaksanakan aktiviti ziarah kasih yang melibatkan lawatan kepada mereka yang sedang menerima rawatan dan ditimpa musibah sebagai sokongan untuk meringankan beban dan memberikan sokongan moral dalam melalui saat-saat sukar.

Ketua Wanitanya, Husna Abdul Rahaman yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNOPutrajaya berkata inisiatif ini adalah usaha dari ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sentiasa cakna dengan keluarga besar UMNO Putrajaya.

Terbaharu, Husna bersama beberapa anggota jawatankuasanya telah berkunjung ke Hospital Putrajaya dengan menziarahi beberapa pesakit antaranya ialah Manisah yang dirawat di dalam wad manakala Mohamad Iqbal berada di Unit ICU Institut Endokrine hospital terbabit.

Husna menyatakan bahawa kunjungan ini bertujuan untuk memberikan kata-kata semangat serta menunjukkan bahawa UMNO tetap komited untuk bersama rakyat, walaupun parti ini tidak lagi memegang kuasa di Parlimen Putrajaya.

“Saya berharap lawatan ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan dan sokongan kepada mereka yang sedang dalam kesulitan. Kita tahu bahawa menghadapi penyakit adalah ujian yang berat, dan kami ingin mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian.

“Sebagai parti yang berakar umbi di masyarakat, UMNO akan terus berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kedudukan atau kuasa,” jelasnya kepada UMNO Online.
Setelah selesai menziarahi pesakit di hospital, kunjungan UMNO Bahagian Putrajaya terus bergerak ke Fasa 3, Presint 9, untuk menyerahkan sebuah katil khas kepada Kamariah iaitu seorang pesakit yang terlantar di kediamannya.

Jelas Husna, penyerahan katil tersebut adalah hasil sumbangan daripada Datuk Seri Dr Tengku Adnan, yang berharap agar bantuan ini dapat meringankan beban keluarga pesakit.

“Sebagai seorang yang telah lama berkhidmat untuk rakyat, Datuk Seri Dr Tengku Adnan sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan dalam keadaan kesihatan yang terjejas.

“Bantuan ini bukan hanya untuk meringankan fizikal mereka yang sakit, tetapi juga sebagai simbol keprihatinan kami terhadap kesulitan yang mereka hadapi sekeluarga,” ujar Husna lagi.

Ujarnya, ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UMNO untuk mendekati rakyat dan memberi perhatian kepada isu-isu kebajikan masyarakat.

“UMNO telah lama menjalankan pelbagai program kebajikan, dari penyerahan bantuan makanan dan barangan keperluan, hingga kepada rawatan perubatan bagi mereka yang kurang bernasib baik.

“Kami percaya bahawa setiap rakyat berhak mendapat perhatian dan bantuan, tidak kira status mereka. Inilah semangat yang diaplikasi oleh UMNO iaitu dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat.

“UMNO Bahagian Putrajaya sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dan memastikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan masyarakat menjadi keutamaan. Sebagai parti yang berpegang kepada prinsip keprihatinan, UMNO yakin bahawa sokongan yang diberikan kepada rakyat akan terus memperkukuhkan hubungan antara parti dan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit