Khemah Percuma Tingkatkan Daya Saing Usahawan Mikro – Mohd Jafni

KULAI, 19 Dis — Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Khemah kepada usahawan mikro di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kulai di Pasar FAMA Bandar Putra, semalam.

Mohd Jafni yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada insentif pemberian khemah percuma yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ujarnya, inisiatif ini dikendalikan dengan kerjasama YB Hairi Md Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu dari segi penceriaan kawasan perniagaan, tetapi sedikit sebanyak membantu peniaga-peniaga kecil ini,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya.

Jelasnya, bagi tahun 2024, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk membekalkan 2,000 unit khemah kepada usahawan mikro di seluruh Johor dan Majlis Perbandaran Kulai menerima sebanyak 331 unit khemah dengan jumlah peruntukan bernilai RM331,000, menjadikannya penerima kedua tertinggi di negeri ini.

“Penyerahan ini melibatkan tujuh pusat perniagaan utama di daerah Kulai yang terdiri daripada usahawan berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, dan India.

“Selain itu, 68 individu berlesen yang menjalankan perniagaan di kawasan Kulai turut menerima manfaat daripada insentif ini.”

Mohd Jafni menyatakan bahawa usaha ini akan memberi impak positif kepada para peniaga kecil dalam menjana pendapatan serta meningkatkan daya saing mereka.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB), Majlis Perbandaran Kulai, dan semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan inisiatif ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit