Banjir: UMNO Kedah Tegar Membantu, Ketepikan Sentimen Kepartian

KUALA LUMPUR, 19 Dis – UMNO Negeri Kedah tetap tegar memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut meskipun ia ditadbir oleh pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) masih kekal menjadi ‘frontliner’ yang cakna akan nasib rakyat.

“Insiden banjir yang melanda di beberapa buah negeri baru-baru ini adalah contoh signifikan, membuktikan komitmen jelas pemimpin UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Sama ada di peringkat awal bencana banjir, pembersihan sehinggalah ke fasa terkini… gelombang pertama, kedua atau ke berapa pun sekali, UMNO/BN tetap turun padang.

“Waima di peringkat akar umbi dari Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pun bertungkus lumus turun membantu, apatah lagi pemimpin atasan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO/BN akan sentiasa meneruskan tradisi untuk menyantuni dan mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira warna politik.

“Hakikat ini boleh dilihat di serata negeri termasuk di negeri-negeri pimpinan PN. Malah di negeri Kedah yang dikuasai PN, kami tetap tegar turun membantu sedaya mungkin.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini kami dapat kerjasama yang baik dari semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan agensi yang dipertanggungjawabkan. Ini bukan soal politik, tapi soal kebajikan rakyat dan sememangnya tradisi kami UMNO/BN turun menyantuni rakyat,” katanya.

Untuk rekod, selepas musibah banjir melanda beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah, UMNO giat menghantar jentera dari segenap peringkat untuk menghulurkan bantuan.

Kejadian banjir tersebut telah berlaku bermula pada November lalu disebabkan musim peralihan monsun timur laut. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit