Tahap Bahaya Dan Risiko Cerun Jadi Fokus Penilaian JKR – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Kementerian Kerja Raya melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan penilaian cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata penilaian cerun yang dibuat oleh kementerian menganalisis dua tahap iaitu ‘Tahap Bahaya’ dan ‘Tahap Risiko’.

“Tahap Bahaya merujuk kepada peratus kebarangkalian cerun runtuh berdasarkan geometri sesebuah cerun manakala Tahap Risiko pula adalah Tahap Bahaya dengan mengambil kira kesan (consequences) ke atas elemen yang berada di sekitar cerun sekiranya cerun tersebut runtuh.

“Antara faktor utama yang mempengaruhi cerun yang dikategorikan sebagai sangat berisiko tinggi adalah tahap bahaya yang tinggi disebabkan ketinggian sesebuah cerun, darjah kecerunan, jenis geologi, peratus litupan permukaan cerun, keamatan hujan dan tanda-tanda awal tanah runtuh seperti hakisan serta terdapatnya elemen penting di sekitar cerun seperti infrastruktur, fasiliti dan utiliti.

“Sebanyak 1,577 cerun dikategori risiko sangat tinggi dan 1,045 cerun adalah risiko tinggi. Jumlah cerun seperti di Semenanjung 26,722 cerun, Sarawak 3,633, Sabah 4,178 dan Labuan 181 cerun,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah faktor utama sebilangan cerun di sepanjang jalan seluruh negara dikategorikan sebagai sangat berisiko tinggi serta penyelesaian jangka panjang pengukuhan cerun bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan Jabatan Kerja Raya telah mengambil langkah dengan menggunakan kaedah pemantauan.

“Pemantauan masa nyata atau real time secara setempat atau localised. Sistem ini membolehkan pengesanan awal perubahan dalam kestabilan cerun. Data dari peralatan pemantauan ini boleh dihantar secara terus kepada pusat kawalan, membolehkan tindakan segera diambil jika ada tandatanda kegagalan cerun.

“Penggunaan peralatan yang dipasang secara setempat juga akan diletakkan di lokasi-lokasi cerun yang dikenal pasti sebagai berisiko. Ini termasuk penggunaan pelbagai sensor dan alatan seperti ‘tilt sensor, soil moisture, inclinometer dan piezometer’ untuk mendapatkan data yang lebih tepat dan relevan tentang keadaan tanah dan kestabilan cerun.

“Tolok hujan digunakan bagi merekod data hujan dan akan memberikan amaran awal apabila bacaan tolok hujan mencapai nilai ambang atau mencatatkan taburan hujan yang luar biasa bagi lokasi berkaitan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata Ketua UMNO Bahagian Pontian, dengan data yang dikumpul, mitigasi dan langkah pencegahan seperti menyalurkan amaran kepada JKR Negeri dan Daerah bagi melaksanakan kerja-kerja rondaan dan pemantauan dapat dilakukan bagi mengesan tanda-tanda awal tanah runtuh.

“Kerja-kerja pencegahan (preventive) dengan melakukan penyenggaraan rutin di cerun-cerun yang berisiko tinggi dan sangat tinggi agar tidak membahayakan orang awam tertakluk kepada peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan.

“Kerja-kerja pembaikan (corrective) adalah menjadi keutamaan kepada Kementerian untuk dilaksanakan terlebih dahulu bagi cerun-cerun yang telah runtuh agar keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan rangkaian perhubungan berjalan lancer,” ujarnya.

Ujarnya lagi, sekiranya berlaku tanah runtuh, tindakan awalan yang akan dilaksanakan adalah melibatkan kerja-kerja pembersihan laluan

“Tindakan awal yang akan dilaksanakan adalah melibatkan kerja-kerja pembersihan laluan dan pengalihan debris (sisa runtuhan tanah), penyediaan pelan pengurusan trafik dan jalan lencongan / alternatif sementara bagi memastikan sistem perhubungan jalan raya ini dapat diakses semula dengan selamat oleh pengguna jalan raya,” ujarnya lagi – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit