Malaysia Sumbang USD5 Juta Kepada Rakyat Palestin

PUTRAJAYA, 18 Dis – Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan USD5 juta (kira-kira RM22.34 juta) kepada rakyat Palestin menerusi inisiatif kerajaan Jordan, bagi meringankan penderitaan mereka yang berdepan krisis kemanusiaan di Gaza.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Luar Mohamad Hasan kepada Duta Besar Jordan Dr Ismael Maddallah Suliman Maaytah di Wisma Putra.

Mohamad berkata, sumbangan itu merupakan hasil derma rakyat Malaysia bawah tabung Akaun Amanah Khas Rakyat Palestin (AAKRP).

“Ini merupakan usaha Malaysia, rakyat dan kerajaan untuk kita terus membantu rakyat Palestin yang mengalami kekejaman yang tidak berperikemanusiaan. Kita amat berdukacita.

“Rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jiwa yang sentiasa bersama untuk membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan daripada Malaysia kepada Palestin bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan.

Mohamad berkata, sebanyak RM99 juta sumbangan dikumpul bawah tabung AAKRP sejak ia ditubuhkan pada Oktober 2023.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih RM70 juta telah diserahkan kepada pihak berkaitan misi membantu Palestin.

“Termasuk hari ini (sumbangan USD5 juta), kita telah pun menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu di sana dan juga melalui wakil NGO kita di sini, seperti Ops Ihsan dan lain-lain.

“Ada sedikit lagi dan kita akan serahkan pula terus kepada pihak Palestin supaya mereka dapat membina atau mengurus semula perigi-perigi yang telah dimusnahkan, bantuan perubatan yang amat diperlukan dan lain-lain lagi,” katanya sambil menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyumbang kepada AAKRP.

Beliau berkata, Wisma Putra akan menguruskan tabung itu dengan telus dan melaporkan perincian sumbangan kepada Jemaah Menteri setiap tiga bulan.

Mohamad dalam ucapannya berkata sumbangan hari ini adalah tanda sokongan kepada inisiatif diterajui kerajaan Hashimiah Jordan.

“Kerjasama antara Malaysia dan Jordan ini segera dilaksanakan apabila rakan sejawatan saya dari Jordan memaklumkan mengenai rancangan Raja Abdullah II untuk mengetuai operasi komprehensif yang bertujuan mewujudkan jambatan udara antara Zarqa, Jordan dan lintasan Karni berhampiran Gaza,” katanya.

“Misi tujuh hari ini akan menggunakan helikopter Black Hawk untuk menyampaikan 238 tan bantuan bernilai tinggi kepada rakyat Palestin, memudahkan masyarakat antarabangsa untuk memastikan bantuan kemanusiaan kritikal dihantar dengan selamat dan cekap kepada mereka yang memerlukan dengan segera.”

Mohamad berkata, sumbangan itu juga akan membantu Jordan memperoleh lebih banyak trak yang akan digunakan untuk memasuki Gaza melalui laluan jalan darat.

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, Malaysia komited menyalurkan bekalan keperluan asas seperti makanan, sumber perubatan dan bantuan penting lain bagi memenuhi keperluan kemanusiaan mendesak rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, Malaysia kekal teguh dengan sokongannya kepada rakyat Palestin sehingga mereka mencapai hak untuk menentukan nasib sendiri dalam sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Malaysia sentiasa lantang dalam solidariti dengan rakyat Palestin, memperjuangkan kebebasan, martabat dan keadilan mereka di peringkat global,” menurut Wisma Putra. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit