Laut China Selatan: Malaysia Tegas Lindungi Hak Kedaulatan Negara – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 18 Dis – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menegaskan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks, sensitif dan perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.
Jelas beliau, setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif dan tidak sesekali akan memprejudiskan hak kedaulatan dan kepentingan negara.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat keselamatan perairan negara di Laut China Selatan, memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi di kawasan tersebut. Keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
“Menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran ‘show of presence’ di kawasan tersebut. Semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim di negara komited dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia adalah kekal terpelihara,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dari Senator Tan Seri Mohamad Fatmi Che Salleh yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan bagaimana Malaysia merancang untuk memastikan kedaulatan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara terpelihara, terutamanya dalam menghadapi peningkatan aktiviti ketenteraan dan pembangunan infrastruktur oleh China di kawasan yang turut dituntut oleh negara-negara jiran, berikutan ketegangan di Laut China Selatan.
Mohamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan Kerajaan juga melaksanakan pendekatan ‘whole of government, untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia.
Ujarnya, setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan.
“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.
“Sebagai tindak balas kepada insiden pencerobohan kapal-kapal milik kerajaan negara asing di kawasan maritim Malaysia, Kementerian Luar Negeri secara konsisten telah dan akan mengemukakan ‘Nota Bantahan’ kepada negara-negara yang berkenaan.
“Ini adalah selari dengan pendirian tegas negara dalam memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara. Selaras dengan pendirian tegas negara bahawa semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif seerta mengamalkan pendekatan ‘self restraint,” jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Kimanis, Kerajaan sentiasa menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara-negara luar di pelbagai peringkat, dari peringkat pemimpin negara hinggalah di peringkat kumpulan kerja. – UMNO Online