GERAK-17 Bukti Kesungguhan UMNO/BN Sabah Bersama Rakyat – Samasuddin

KALABAKAN, 18 Dis – Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop menegaskan bahawa sambutan dan sokongan rakyat dalam pelaksanaan program GERAK-17 adalah bukti kesungguhan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menguasai tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata demikian berikutan sambutan program GERAK-17 yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan dan DUN Sebatik baru-baru ini memberikan petanda jelas bahawa UMNO dan BN Kalabakan komited untuk terus meraih sokongan rakyat.

“Berakhirnya GERAK-17 adalah isyarat kepada semua ahli dan jentera UMNO-BN di Kalabakan agar terus bekerja lebih keras dan strategik demi memastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kelak,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kehadiran Ketua UMNO yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam GERAK-17 menjadi inisiatif untuk memperkukuh jentera pilihan raya di samping menyelami isu-isu rakyat di kawasan Kukusan dan Sebatik.

“Sekali berjuang, terus berjuang! Ini bukan masa untuk leka atau berpuas hati dengan pencapaian lalu. Kita sudah melihat bagaimana landskap politik Sabah berubah dalam PRN sebelum ini, dan kali ini kita akan pastikan UMNO-BN Sabah bangkit semula,” ujar Samasuddin.

Beliau turut menyeru semua pemimpin bahagian, anggota jentera Wanita, Pemuda dan Puteri agar meningkatkan kerjasama dan memperkukuh perpaduan menjelang PRN Sabah ke-17.

Katanya, hanya dengan usaha kolektif dan kesatuan yang padu, UMNO-BN mampu memenangi semula hati rakyat Sabah.

“Kita harus sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha menyelesaikan isu-isu utama seperti pembangunan infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Rakyat Sabah inginkan pemimpin yang komited dan telus dalam memperjuangkan hak serta kebajikan mereka.

“Kemenangan bukan sesuatu yang mudah, tetapi dengan perpaduan, disiplin dan strategi yang baik, kita pasti mampu mencapainya. Teruskan perjuangan untuk rakyat Sabah,” tambahnya.

GERAK-17 adalah program turun padang yang mendekatkan pemimpin UMNO-BN dengan masyarakat akar umbi di samping memastikan kesiapsiagaan jentera pilihan raya berada di tahap terbaik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit