Fokus Perkukuh Perpaduan, Utamakan Rakyat Untuk Kestabilan Negara – Mohd Zaidy

JEMPOL, 18 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyarankan agar semua pimpinan dari Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan penuh kepada usaha membina negara dan membantu rakyat, serta mengabaikan sebarang isu yang tidak memberi manfaat.

Beliau menegaskan bahawa pemimpin yang telah diberikan mandat menerusi pilihan raya lalu harus meneruskan perjuangan yang ikhlas, jujur, dan amanah untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kerajaan terus terpelihara.

“Kita harus sentiasa fokus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Tidak perlu kita melayan perkara-perkara yang tidak menguntungkan, sebaliknya kita perlu berusaha memperkukuhkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dengan menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menjaga dan memelihara kesepaduan yang telah terbina dalam gabungan tersebut.

“Nasihat tersebut adalah tepat. Keutuhan perpaduan dalam Kerajaan hari ini sangat penting untuk memastikan kestabilan politik yang akan membawa kemajuan dan pembangunan yang lebih pesat untuk negara.”

Mohd Zaidy menekankan bahawa hanya dengan perpaduan yang kukuh, semua dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Cukuplah pengalaman pahit yang menjelmakan krisis politik lalu hingga meruntuhkan kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan. Ini semua tidak menguntungkan dan hanya memberikan kesan negatif kepada masyarakat dan masa depan negara,” tegasnya.

Beliau turut menggesa semua pihak agar mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama memberi sokongan penuh kepada usaha-usaha kerajaan untuk memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu membina negara dan memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat tercapai,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zaidy memaklumkan bahawa gerak kerja di DUN Jeram Padang terus aktif khususnya dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan dalam kebajikan dan infrastruktur terbaik.

“Saya sendiri telah turun padang, melakukan tinjauan dan melaksanakan usaha yang terbaik kepada masyarakat setempat. Saya berinteraksi dengan penduduk untuk mendengar pandangan serta maklum balas daripada masyarakat, khususnya berkaitan inisiatif-inisiatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan mereka.”

Ujarnya, baru-baru ini beliau telah meninjau kerja-kerja naik taraf tandas di Pasar Awam Pekan Rompin yang dilaporkan telah siap sepenuhnya, namun kecewa apabila mendapati ia belum boleh digunakan.

“Lebih membimbangkan, kawasan sekitarnya dipenuhi dengan sampah sarap yang mencacatkan pemandangan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada para peniaga serta pengunjung pasar.”

Antara pelaksanaan lain yang dibuat secara khusus untuk orang ramai ialah ‘Jualan Rahmah’ iaitu bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit