Parti Dalam Kerajaan Perpaduan Perlu Amal Sikap Menghormati, Berunding – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan memerlukan dukungan jitu di antara ahli-ahli parti naungan bagi memastikan ia dijalin dengan harmoni.
Menurut beliau ini termasuk mengamalkan sikap saling menghormati dan melakukan rundingan antara satu sama dalam mencapai kesepakatan.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata ia penting demi memastikan sokongan rakyat berterusan kepada kerajaan.
“Kita hendaklah hormat, sentiasa berunding, jangan menimbulkan isu-isu antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Beliau dalam pada itu turut berkongsi dapatan penyelidikan daripada universiti tempatan yang mendapati sokongan rakyat kepada kerajaan pada peringkat yang memberangsangkan, terutama dalam aspek kestabilan politik.
Katanya penyelidikan yang dilakukan secara rawak itu juga mendapati sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang perolehi melebihi Perikatan Nasional (PN).
“Saya dimaklumkan oleh para penyelidik universiti tentang sokongan terhadap kestabilan dicapai Kerajaan Perpaduan Madani ini lebih daripada 60 peratus setakat hari ini.
“Oleh itu, kita jaga elok-elok supaya lebih meningkat sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan… namun yang menarik adalah bila dicampurkan sokongan terhadap PH dan BN, mengatasi sokongan kepada PN.
“Itu satu lagi perkara menunjukkan Kerajaan Perpaduan itu perlu dikekal untuk memastikan pada pilihan raya akan datang kita beroleh kejayaan,” ujar beliau. – UMNO Online