Ahmad Zahid Zahir Ucapan Tahniah Kepada Musa Aman, Moga Sabah Lebih Sejahtera Dan Makmur
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Jan 2025.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook meluahkan harapan kepada Musa, 73 tahun bagi membawa lebih banyak kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat negeri itu.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
“Saya mendoakan agar Tun sentiasa diberikan petunjuk, hidayah serta kekuatan dalam menjalankan amanah yang diberikan dengan cemerlang.
“Selamat maju jaya dalam menerajui kepimpinan negeri Sabah dan semoga Allah SWT sentiasa merahmati perjalanan Tun hendaknya. Insya-Allah” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balarung Kecil, Istana Negara di sini.
Musa dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011. – UMNO Online