Tindakan Lompat Parti Tidak Beretika, Mampu Jadi Barah Dalam Parti – UMNO Kedah

KUALA LUMPUR, 16 Dis – UMNO Kedah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli parti berpindah dan melompat parti walaupun ianya berlaku di antara parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata tindakan tersebut sangat tidak boleh diterima dan perlu diambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang bertindak demikian.

“UMNO Kedah menyifatkan tindakan ini adalah tidak beretika, terdesak dan opportunis serta mampu menjadi barah yang mampu meruntuhkan struktur parti.

“Memohon agar komponen parti di dalam Kerajaan Perpaduan tidak sama sekali melayan tindakan yang sangat tidak bermaruah ini.

“Malah, UMNO Kedah kekal komited mendokong kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan, namun perlu ada ‘garisan’ tertentu yang perlu dihormati,” katanya yang juga jurucakap khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menerusi satu kenyataan.

Menerusi kenyataan yang sama, Ketua UMNO Bahagian Merbok itu juga berkata UMNO Kedah menyokong penuh ketegasan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memandang serius isu ini.

“…sama sekali menolak tindakan sesetengah ahli parti berpangkat ‘kepimpinan’ yang dilihat mengadakan perbincangan untuk melompat parti walaupun ia terdiri daripada parti komponen kerajaan sendiri.

“Ia membuktikan pendirian Presiden yang tegas dan komited dalam memelihara kestabilan hubungan di antara sesama komponen parti di dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit