RCI Batu Puteh: Rakyat Mesti Tolak Pengkhianat Termasuk Yang Bersekongkol

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) sekali lagi melakukan pembohongan mengenai Batu Puteh.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, ia rentetan daripada kenyataan Tun Mahathir yang mengatakan bahawa keputusan yang dilakukan adalah kolektif daripada jemaah menteri.

“Pembohongan terbaru Tun Mahathir mengenai Batu Puteh ialah itu bukan keputusan dia seorang. Itu keputusan kolektif jemaah menteri.

“Tetapi ia disangkal oleh Wan Azizah, Mad Sabu dan Anthony Loke. Mereka mendakwa Tun M hantar surat lebih awal pada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melalui Peguamcara Negara pada 21 Mei 2018 Mesyuarat pertama kabinet berlaku pada 23 Mei 2018 (setelah surat dari Peguamcara dihantar kepada ICJ).

“Pagi sebelum mesyuarat kabinet, Tun M terlebih dahulu beritahu Singapura, dia membatalkan rayuan Batu Puteh. Tun Mahathir jelas membelakangkan Kabinet. Mesyuarat Kabinet hanya ‘rubber stamp’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi malah dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menjadi bukti kukuh Tun Mahathir telah meminggirkan jemaah Kabinet yang menyebabkan RCI mencadangkan beliau disiasat di bawah akta jenayah.

Puad dalam pada itu turut sama memberikan kronologi yang disifatkan beliau sebagai pembohongan yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia.

23hb Mei 2008 – ICJ putuskan Batu Puteh milik Singapura.

2hb Mei 2017 – Malaysia memfailkan semakan semula keputusan 2008 kerana ada bukti baru (rayuan boleh dibuat dalam tempoh 10 tahun).

9hb Mei 2018 – Kerajaan BN tumbang.

10hb Mei 2018 – Tun M dilantik PM ke 7.

13hb Mei 2018 – mesyuarat Council of Elders.

14hb Mei 2018 – Apandi Ali Peguam Negara diarah bercuti (force leave). Iaitu 4 hari selepas Mahathir jadi PM ke 7. Peguamcara Negara Engku Nor Faezah memangku jawatan AG. Wan Azizah mendedahkan Engku Faezah yang tulis surat kepada ICJ pada 21 Mei 2018 membatalkan rayuan Batu Puteh.

28hb Mei 2018 – Tun M hantar surat kepada ICJ menyatakan Malaysia dan Singapura setuju membatalkan permohonan rayuan dan tafsiran.

29hb Mei 2018 – Singapura sahkan surat permohonan Malaysia.

29hb Mei 2018 – ICJ arahkan supaya permohonan Malaysia dikeluarkan daripada senarai secara rasmi. Maka kedaulatan Batu Puteh hilang selama lamanya kerana tempoh 10 tahun telah tamat.

30hb Mei 2018 – akhbar The Strait Times Singapura telah melaporkan Malaysia menarik diri rayuan Batu Puteh.

2 Julai 2019 – Timbalan Menteri Luar iaitu Marzuki Yahya beritahu Dewan Rakyat Malaysia masih komited untuk membuat semakan. Ini bohong paling mega kerana hakikatnya kita telah kehilangan Batu Puteh selama lamanya pada 28hb Mei 2018 lagi.

Bagaimanapun kata Puad, malangnya Perdana Menteri selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersekongkol mempertahankan Tun Mahathir dan sanggup berkata keputusan tersebut dilakukan secara kolektif.

“Ini pembohongan paling mega dalam sejarah kerana Malaysia kehilangan wilayah, maruah tercemar selama lamanya kerana menyerah diri tanpa berperang.

“Siasatan tidak boleh tertangguh dan hukuman mesti berat kerana punca kekalahan adalah disengajakan. Rakyat mesti tolak pengkhianat termasuk yang bersekongkol,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit