Pertahankan Kestabilan : Tolak Politik Lompat Parti Demi Negara – Wanita UMNO
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kestabilan politik bukan sekadar satu keperluan, tetapi tanggungjawab bersama selain ianya adalah kunci kepada kemajuan, keyakinan rakyat dan kemakmuran negara.
Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan membawa peranan dan amanah penting yang mesti dihormati oleh semua pihak.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO berdiri teguh di atas prinsip kepercayaan dan kerjasama. Kerajaan ini terbina atas asas perpaduan yang memerlukan keikhlasan, bukan percaturan politik yang merosakkan.
“Budaya lompat parti bukanlah tindakan yang bertanggungjawab tapi hanya akan mengundang ketidakstabilan, merosakkan kepercayaan yang dibina, dan mengorbankan masa depan rakyat demi kepentingan sempit segelintir pihak,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Kata beliau lagi, Wanita UMNO dengan tegas menolak budaya politik yang mencalar integriti serta meracuni kesatuan.
“Wanita UMNO menyeru kepada semua pemimpin dan pemain politik untuk kembali kepada nilai yang lebih tinggi – nilai keikhlasan, kejujuran, dan tanggungjawab terhadap rakyat yang kita pimpin.
Politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi amanah yang dipikul demi masa depan bangsa dan negara.
“Wanita bertekad untuk memperkukuhkan kesatuan parti, mempertahankan kestabilan politik, dan memastikan budaya lompat parti ini dihentikan. KIta perlu fokus kepada agenda yang lebih besar: memajukan negara dan membela rakyat,” ujarnya.- UMNO Online