Orang UMNO Perlu Ada Kesetiaan Dan Berprinsip Kepada Parti
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Kamil Ibrahim menyeru semua pihak untuk bersikap matang dan mengetepikan drama politik yang akan merugikan rakyat dan negara.
Beliau berkata ini termasuk kesetiaan kepada parti yang disifatkan beliau sebagai berharga terutama parti yang banyak jasanya melahirkan pemimpin seterusnya membangunkan negara.
“Kesetiaan itu mahal. Sebagai orang UMNO perlu ada kesetiaan dan berprinsip kepada parti. Dalam mana-mana parti pun menuntut ahlinya memberi kesetiaan yang penuh untuk memperjuangkan dasar parti.
“UMNO ini ada karamahnya. Negara kita ini membangun hasil dari jasa pemimpin yang ada darah UMNO. Saya tidak hairan kalau ada parti lain cuba nak ‘curi’ pemimpin-pemimpin kita untuk masuk ke dalam parti mereka kerana mereka tahu parti kita sentiasa melahirkan pemimpin yang bekerja untuk rakyat
“Salah satunya bila kita membuat keputusan, ianya selari dengan kehendak. Kita lebih mendengar apa yang disuarakan oleh rakyat, memahami isu yang berbangkit malah kita juga ada pendirian kita sendiri.
“Kita boleh kira sendiri berapa ramai pemimpin dari UMNO keluar dari landasan dan khianat kepada parti. Parti ini yang mengajar mereka merangkak hingga dapat berjalan sendiri tapi akhirnya mereka sanggup buang segala kesetiaan demi kepentingan peribadi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub berkata, ini kerana kesetiaan yang akan membentuk kepimpinan dan rakyat dapat diyakini dengan setiap langkah dilakukan.
Dalam pada itu, Kamil turut sama menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan mana-mana ahli dan kepimpinan mesti mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan peribadi.
“Saya juga bersetuju dengan kenyataan ketua kami Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, agar dikaji semula hubungan dalam Kerajaan Perpaduan. Tiada guna bekerjasama jika ada muslihat dan tikam belakang gabungan parti Kerajaan Perpaduan.
“…serta kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar menghormati parti komponen dalam kerajaan perpaduan. Jika berterusan, keretakan akan berlaku dan menjejaskan kestabilan negara.
“Hentikan drama politik yang merugikan kita semua,” tegas beliau. – UMNO Online