‘MARA Sering Ingatkan Peminjam Bermasalah Untuk Berunding Tapi Ada Yang Tak Endah’
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi menyatakan toleransi pihaknya untuk melakukan rundingan dengan peminjam yang berhadapan kesulitan untuk menjelaskan pinjaman mereka.
Namun menurut beliau sekiranya tiada sebarang maklum balas, MARA akan mengambil tindakan dengan sewajarnya kepada peminjam melalui tindakan mahkamah.
“MARA sering peringatkan kepada semua peminjam bermasalah untuk datang berunding. Ada yang tak endah.
“Sebab itu tindakan mahkamah diambil kerana wang dipinjam itu hak rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Dr Asyraf membidas tindakan sesetengah peminjam institusi itu yang dilihat sengaja tidak mahu membayar pinjaman tetapi memperagakan kemewahan.
Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, MARA tidak pernah memilih bulu sebaliknya mengambil pendekatan berunding dan sentiasa bersikap ihsan kepada sesiapa yang bermasalah dalam melangsaikan hutang pinjaman.
Reaksi itu selepas pendedahan media mengenai rumah pelakon terkenal yang diserbu pegawai MARA susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta. – UMNO Online