Bung Tegaskan UMNO/BN Mesti Menang PRN Sabah, Ambil Alih Kerajaan Negeri Yang Lemah Dan Gagal

KUALA LUMPUR, 16 Dis – UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17 kelak, tegas Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, kemenangan amat penting kerana ia merupakan kunci kepada parti mengambil alih kerajaan negeri sekarang ini yang dikenali sebagai kerajaan yang lemah dan gagal.

“PRN-17 ini amat penting untuk UMNO dan BN Sabah memenangi dan seterusnya mengambil alih kerajaan ini daripada kerajaan yang lemah dan gagal!

“Adalah menjadi keutamaan kepada semua ahli parti UMNO untuk mempersiapkan jentera parti di semua peringkat.

“Kita tidak boleh bergantung kepada apa-apa kemenangan di atas kelemahan parti lawan. Sebaliknya kita perlu gapai kemenangan melalui kekuatan parti kita sendiri,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Terbaharu pada hujung minggu lalu, Bung bersama barisan kepimpinan negeri hadir ke Program GERAK17 Dewan Undangan Negeri (DUN) N70 Kukusan dalam Parlimen Kalabakan.

Ujarnya lagi, DUN Kukusan merupakan DUN yang ke-21 untuk UMNO/BN Sabah turun menyantuni dan merasa denyut nadi rakyat.

“Sambutan rakyat Kukusan sangat luar biasa, kehadiran dari pelbagai peringkat umur dan bermacam latar belakang memberi suntikan semangat yang tinggi.

“Terima Kasih rakyat DUN Kukusan yang sentiasa memberi sokongan yang tinggi kepada Barisan Nasional,” katanya dalam satu hantaran yang terdahulu.

Dilaporkan juga, akan datang GERAK17 akan bertumpu ke DUN Sukau pada 21 Dis manakala di DUN Lamag pada hari berikutnya, 22 Dis. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit