Usah Benarkan Budaya Lompat-Melompat Dikalangan Parti Kerajaan Perpaduan – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 15 Dis – UMNO memandang serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Perdana Menteri telah pun merujuk dan meminta pandangan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Pendirian UMNO tetap tegas bahawa parti itu tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan lompat-melompat ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Budaya mengambil ahli atau pemimpin parti masing-masing hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tegas beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu hingga meruntuhkan Kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan. – UMNO Online
Telegram Channel : https://t.me/myDAWD