UMNO Konsisten Menentang Amalan Lompat Parti

KUANTAN, 15 Dis – Kestabilan politik dan kerajaan hari ini bergantung kuat kepada sikap hormat-menghormati dan saling mempercayai di antara parti-parti yang membentuknya, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu, seperti yang dinyatakan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO sangat menghormati keberadaan dan kedudukan setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Justeru, adalah wajar UMNO juga menerima penghormatan yang sama.

“Tindakan mengumpan atau menawarkan jawatan-jawatan tertentu kepada ahli-ahli UMNO supaya keluar dan meninggalkan UMNO untuk menyertai parti lain yang turut berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah resepi keretakan yang perlu dielak.

“UMNO konsisten menentang amalan lompat parti yang pernah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil suatu masa dahulu,” kata Menteri Besar Pahang itu lagi.

Tambahnya lagi, sebagai parti yang paling terkesan akibat budaya ini, UMNO menyedari kesan buruk yang dibawanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit