Strategi Dan Kesatuan BN Kedah Untuk Tarik Sokongan Pengundi -Mahdzir Khalid
MERBOK, 15 Disember – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menekankan pentingnya kesatuan dan strategi dalam kalangan parti komponen BN bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah memberikan teguran dan nasihat secara terbuka kepada akar umbi parti supaya memperkukuh kerjasama dalam parti.
“BN mesti ‘unity’, ada kesatuan dan kolaborasi yang kuat terutamanya dalam parti UMNO, MCA, MIC, dan Friends of BN. Kita perlu menjadi satu pasukan yang mantap.
“BN mesti mempunyai strategi terutamanya untuk menarik pengundi, bukannya penyokong seperti UMNO tarik pengundi UMNO, MCA nak tarik pengundi MCA begitu juga MIC tarik pengundinya. Bagaimana hendak menarik pengundi untuk berkerja bagi memenangi pilihan raya.
“Mesti berkerja secara berterusan dalam tempoh yang ada ini sebelum diadakan pilihan raya dan disokong pula dengan agensi kerajaan Persekutuan yang terdapat di negeri Kedah. Agensi ini mesti memahami aspirasi yang dikehendaki oleh Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan PH,” katanya kepada UMNO Online, di sini
Mengulas lanjut, kata beliau BN seharusnya memperkukuhkan kerjasama antara parti- parti yang ada didalam Kerajaan Perpaduan.
“Bagi tujuan memperkukuhkan hubungan itu mesti dilihat bahawa agensi-agensi Persekutuan yang ada bertindak secara bersekali dengan parti Kerajaan Perpaduan yang ada di negeri ini.
“Ia tidak boleh jadi sekiranya parti-parti yang ada didalam Kerajaan Perpaduan ini duduk di tempat lain tapi mesti berkerja bersama-sama. Kami yang jadi sebahagian kerajaan ini akan merasai sekiranya agensi-agensi ini berkerjasama dengan parti-parti maka terasa hubungan itu amat dekat,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Mahdzir menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO dan BN khususnya di Kedah, menyedari kekalahan pada pilihan raya negeri yang lalu.
“Gelombang perubahan kini semakin jelas, dan BN negeri sedang berusaha gigih untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
“Kemenangan itu bukan sekadar cita-cita BN, tetapi juga harapan rakyat Kedah untuk melihat negeri ini kembali diterajui oleh BN,” ujarnya. – UMNO Online