Alhamdulillah… Misi Bantuan Pasca Banjir Pupuk Kerjasama, Ringankan Beban Mangsa – Shamellya
KUALA LUMPUR, 14 Dis – Misi sukarelawan Puteri UMNO Malaysia pasca banjir di Kelantan diharap benar-benar membantu mangsa yang dilanda musibah berkenaan.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi menerusi perkongsian di Facebook melahirkan rasa syukur apabila misi berkenaan yang diketuai, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan pimpinan lain pergerakan itu mencapai misi yang ditetapkan.
Bagi beliau ia adalah satu pengalaman untuk seluruh sukarelawan dalam pelbagai aspek terutama membentuk kerjasama di kalangan masyarakat setempat dalam usaha membantu meringankan mangsa-mangsa yang terlibat pasca banjir.
“Alhamdulilah selesai Misi Sukarelawan Bantuan Pasca Banjir Puteri UMNO Malaysia selama dua hari di Kelantan. Seramai 53 orang sukarelawan dari Puteri Selangor dan Wilayah Persekutuan berkonvoi bersama-sama ke Kelantan bagi menyelesaikan misi ini, dan dicampur pula dengan 40 lebih orang sukarelawan Puteri Kelantan yang turut sama turun membantu.
“Tidak dilupakan juga kepada Ketua UMNO Rantau Panjang dan pimpinan setempat lain yang turut bersama seharian bersama pasukan kami datang membantu dan memudahkan pengurusan kami semua sepanjang berada di Kelantan ini,” katanya.
Kata beliau lagi usaha membersihkan kediaman penduduk yang ditenggelami banjir sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka yang dilanda musibah tersebut.
“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang misi berlangsung. Semoga semua yang terkesan dipermudahkan segala urusan dan kekal tabah di atas ujian yang menimpa. Insya-Allah, jaga kesihatan dan diri semua,” ujarnya.
Misi sukarelawan Puteri UMNO Malaysia turun padang memperkukuh khidmat bakti kepada masyarakat dengan melaksanakan bantuan melibatkan lima negeri terjejas banjir.
Pengerusi Biro Kebajikannya, Dayang Nurazlin Nordin, memaklumkan bahawa misi tersebut diketuai oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang sentiasa menyatakan komitmen penuh untuk membantu dan memastikan keperluan asas mangsa banjir dapat dipenuhi sebaik mungkin. – UMNO Online