Wanita UMNO Terus Cakna Rakyat, Berperanan Sebagai Agen Parti – Norshida
SEGAMAT, 13 Dis – Wanita UMNO terus memainkan peranan dan fungsinya dalam usaha membantu rakyat termasuklah mereka yang memerlukan bantuan dan kebajikan melalui pelbagai program yang dilaksanakan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata mereka di pelbagai peringkat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan pelbagai pendekatan serta pelaksanaan menerusi pelbagai medium.
“Wanita terus cakna sebagai agen parti yang sentiasa bersama rakyat terutama dalam menjaga soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat melalui program ziarah prihatin. Kami bukan sahaja menyampaikan bantuan, tetapi ziarah serta memberi semangat supaya mereka tabah yang sedang menghadapi ujian.
“Ya Allah, tuhan segala manusia, hilangkanlah penyakit ini dan berilah kesembuhan, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali dengan kesembuhan dari-Mu, (berilah) kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit (lain).”
Beliau yang juga Naib ketua Wanita UMNO Johor seterusnya menambah apatah lagi dengan musim tengkujuh dan musibah banjir yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di Segamat, Wanita UMNO terus membantu dengan kudrat yang ada untuk sama-sama meringankan beban mangsa yang dilanda musibah.
“Insya-Allah kami sepertimana kebiasaan akan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya membantu mereka yang dilanda musibah dengan kerjasama dan pertolongan pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan dan sebagainya.
“Yang penting bagi kami soal kebajikan dan kepentingan masyarakat setempat akan diberi perhatian sewajarnya dengan segala kemampuan yang kami ada untuk kepentingan bersama, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online