UMNO Perlis Sampaikan Bantuan Kerajaan Persekutuan Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman berbesar hati menyampaikan bantuan kepada rakyat terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan di negeri itu.

Penyampaian bantuan tersebut dilakukan dalam majlis sederhana kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka akibat kerosakan harta benda dan rumah yang dinaiki air.

“Alhamdulillah, petang tadi (semalam) telah selesai satu majlis ringkas penyerahan bantuan banjir daripada Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di negeri Perlis.

“Semoga, dengan bantuan ini, ianya dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang dipikul oleh mereka yang terkesan.”

Turut hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan Perlis, Noor Amin Ahmad, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Perlis, Maznah Musa serta rakan-rakan pimpinan UMNO negeri.

Terdahulu, Perlis pada 27 November lalu dilanda hujan lebat berterusan lebih 24 jam yang menyaksikan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka antaranya di Arau dan Padang Besar.

Bagaimanapun pada semalam Jabatan Meterologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kepada Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa sehingga hari ini. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit