Teguhkan Semangat Kebersamaan: UMNO Terengganu Kunjungi UMNO Lahad Datu

LAHAD DATU, 13 Dis – Semangat kebersamaan dalam UMNO dan usaha berterusan untuk memperkukuhkan hubungan antara negeri-negeri di seluruh negara perlu terus dicerminkan sebagai tunjang pengukuhan parti.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata demikian susulan menerima kunjungan rasmi daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu selaku negeri angkat bahagian terbabit.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama dan hubungan erat antara negeri-negeri UMNO adalah penting dalam memastikan perjuangan parti terus kukuh untuk membela rakyat dan negara.

“Alhamdulillah, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu sebagai Negeri Angkat UMNO Bahagian Lahad Datu telah datang melawat.

“Diharapkan, kunjungan ini dapat menyemarakkan semangat perjuangan di kalangan ahli UMNO di Lahad Datu, serta mengukuhkan jalinan silaturahim dalam kalangan ahli parti sendiri,” katanya.

Ujarnya Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat, bersama Timbalannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku bersama ahli jawatankuasanya.

Jelas Sharif Musa, sepanjang kunjungan tersebut, pelbagai perbincangan dan perkongsian telah diadakan merangkumi isu-isu politik semasa, pembangunan negara, pendidikan, serta ekonomi rakyat di samping pembelaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuhkan sokongan dan kebersamaan antara UMNO Bahagian Lahad Datu dan UMNO Terengganu.”

Dalam masa yang sama, Sharif Musa menyampaikan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas inisiatif menghantar UMNO Terengganu sebagai negeri angkat bagi Bahagian Lahad Datu.

Menurut beliau, sokongan ini menjadi simbol solidariti dan semangat perjuangan yang berterusan dalam membela rakyat Malaysia.

“Berdirinya UMNO hingga ke hari ini adalah hasil komitmen terhadap kemerdekaan, pembangunan, pendidikan, dan kesejahteraan ekonomi rakyat. Kami percaya bahawa kerjasama ini akan memberikan manfaat yang besar kepada semua pihak,” ujar Sharif Musa lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit