Kelab Skuad Sayang 3K Terus Komited Hulur Sumbangan Kepada Mangsa Banjir
TAMPIN, 13 Dis – Wanita UMNO Malaysia menerusi Kelab Skuad Sayang 3K terus komited menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Diketuai Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Skuad Sayang 3K hari ini turun padang menemui mangsa banjir di Kg. Keru, di sini bagi menyampaikan sumbangan bantuan.
“Wanita UMNO Malaysia terus menggerakkan Kelab Skuad Sayang 3K bagi memastikan mangsa-mangsa banjir menerima bantuan segera dan berkesan.
“Kami juga menyeru semua pihak agar bersolidariti membantu mereka yang memerlukan dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Majlis penyerahan bantuan telah diadakan di perkarangan Surau Kg Keru Hilir, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tampin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ketua Wanita Negeri Sembilan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dan ADUN Gemencheh Suhaimizan Bizar.
Hadir sama Komandan Skuad Sayang 3K Hisham Suhaily Othman, Pengerusi Sekretariat Kebajikan Wanita UMNO Malaysia Hajah Naz Azra Sabtu dan Ketua-ketua Wanita UMNO Bahagian Negeri Sembilan.
Sebelum ke Tampin, Dr. Noraini turut menyampaikan bantuan berupa kotak makanan, toto, bantal dan sejadah kepada Ketua Wanita Bahagian Rasah Norhafiza Mohamad, untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan Rasah yang turut dinaiki air. – UMNO ONLINE