Kajian Data MetMalaysia Penting Untuk Persiapan Awal Sebelum Bencana – Mohd Shahar
KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berbesar hati melaksanakan kunjungan ke Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk mendapatkan pandangan pakar berkenaan ramalan kaji cuaca di negara ini.
Menurut beliau, antara dapatan yang diperolehi adalah kajian data yang dibuat sangat penting sebelum keputusan ramalan dilaksanakan serta diberi maklum kepada pihak pemegang taruh khususnya pihak awam.
Katanya ini kerana kaedah kajian ini akan merangkumi pertimbangan maklumat satelit, model ramalan dan pemerhatian lapangan.
“Saya percaya melalui kajian pengurusan bencana ini juga, kita mampu membuat pertimbangan dan persiapan sewajarnya sebelum bencana berlaku dan saya melihat kita mempunyai teknologi untuk melihat perubahan cuaca dalam tujuh hari terdekat.
“Oleh sebab itu sediakan payung sebelum hujan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohd Shahar dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Ambun Dindang dan pihak pengurusan MetMalaysia yang menerima kunjungan di samping memberi input berkenaan pengurusan bencana dalam negara. – UMNO Online