Bentang Laporan RCI Batu Puteh Di Dewan Rakyat Bukti Kerajaan Telus – Azalina

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung sesi perbahasan usul itu berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan yang telah berlaku berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau turut menyelar tindakan beberapa ahli Parlimen yang mendakwa usul itu bertujuan mendakwa individu berkaitan.

“…nak tuduh atau tidak adalah isu Peguam Negara, bukan isu kerajaan. Dalam Perlembagaan, semua tahu bahawa Peguam Negara ialah individu yang bebas.

“Kalau laporan polis ada, polis buat siasatan kemudian Peguam Negara buat keputusan. Kalau setakat hari ini tiada laporan polis, takkanlah kita dalam Dewan boleh arah polis siasat, boleh suruh Peguam Negara dakwa, mana boleh,” katanya.

Azalina memaklumkan kerajaan yang turut disertai pembangkang sebelum ini bersetuju supaya pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyemak semula isu Batu Puteh.

“…mereka pun bersetuju tetapi perbezaannya sampai hari ini, mereka bersetuju laporan ini masih dirahsiakan tetapi Kerajaan Madani nakkan laporan ini tidak dirahsiakan… Kerajaan Madani nak rakyat tahu,” katanya.

Berhubung tindakan menghitamkan 47 daripada 217 halaman laporan itu, beliau berkata, ia dilakukan atas faktor keselamatan negara, hubungan diplomatik yang sensitif serta perlindungan privasi individu.

Azalina berkata, terdapat kandungan laporan yang melibatkan pertahanan, perisikan dan perkara strategik lain.

“Dari segi sensitif diplomatik pula, kawasan perairan Batu Puteh adalah laut wilayah yang masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

“Selain itu, terdapat kandungan laporan ini mengandungi maklumat sensitif berkaitan rundingan yang sedang berjalan serta butiran perbincangan antara kedua-dua negara yang boleh menjejaskan hubungan berterusan atau rundingan masa depan,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berhubung Laporan RCI setebal 217 muka surat itu. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit