RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 Komitmen Lindungi Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 bukan sekadar ‘a mere piece of paper’, tetapi satu komitmen bersama untuk melindungi setiap rakyat Malaysia daripada ancaman siber.

Menurut beliau ianya adalah bertujuan untuk menegakkan keadilan, mengukuhkan akauntabiliti, dan memastikan bahawa teknologi digunakan dengan cara yang positif dan bertanggungjawab.

“Dunia dalam talian telah membawa perubahan besar kepada cara kita bekerja dan berkomunikasi. Media sosial kini telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan harian di mana kegunaannya bukan hanya untuk berinteraksi sesama sendiri, malah turut dijadikan medium untuk mendapatkan maklumat.

“’Dunia di hujung jari’ tepat menggambarkan bagaimana ledakan pelbagai media sosial mempengaruhi segenap aspek kehidupan manusia. Undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan aspek telekomunikasi, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], telah digubal lebih daripada 20 tahun yang lalu.

“Ketika itu, penggunaan media sosial belum lagi menjadi satu pengaruh besar dalam kehidupan harian kita. Sebagai konteks kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat, ketika Akta 588 ini sedang digubal, media sosial ‘Friendster’ pun masih belum wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Azalina seterusnya menambah pada awal tahun 2024, Malaysia mempunyai 28.68 juta pengguna media sosial pada Januari 2024, bersamaan dengan 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negara kita.

“Angka ini bukan sahaja mencerminkan kebergantungan kita kepada platform digital, tetapi juga menunjukkan pertumbuhan pesat dalam jumlah pengguna. Namun, peningkatan jumlah pengguna ini turut datang bersama dengan peningkatan risiko pengguna terdedah kepada kandungan memudaratkan.

“Sebagai contoh kandungan memudaratkan yang sedia ada di platform media sosial adalah  kandungan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, jenayah penipuan kewangan dalam talian, buli siber Kandungan berkaitan pengganasan, perjudian dalam talian, penjualan haram dadah, senjata dan ubat tiruan dalam talian, kandungan yang mendorong kanak-kanak untuk mencederakan diri sendiri, dan lain-lain lagi,” tambahnya.

Tambahnya lagi, dalam usaha mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, RUU ini akan menggabungkan dua elemen utama, ‘content curation’ dan ‘content moderation’.

Katanya walaupun kedua-duanya bertujuan mengawal kandungan di platform dalam talian, terdapat perbezaan ketara antara keduanya.

“’Content curation’ merujuk kepada proses memilih, mengatur, dan mempromosikan kandungan berdasarkan kriteria tertentu seperti populariti atau keperluan pengguna. Ini boleh dilakukan sama ada melalui algoritma yang direka untuk menyesuaikan kandungan dengan minat pengguna ataupun penyedia perkhidmatan itu sendiri menapis kandungan di perkhidmatan yang disediakannya. Natijahnya, elemen ini merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh penyedia perkhidmatan dalam memastikan kandungan-kandungan yang disiarkan di platform mereka adalah selamat untuk pengguna.

“Sebaliknya, content moderation melibatkan proses aktif untuk menyemak, menyekat, atau menghapus kandungan yang melanggar peraturan platform atau undang-undang, seperti ucapan kebencian, bahan eksploitasi seksual, atau maklumat palsu.

“Elemen ini lebih bersifat reaktif, bertujuan melindungi pengguna daripada bahaya atau kerosakan akibat kandungan berbahaya. Elemen ini meletakkan peranan yang aktif kepada pengawal selia ataupun regulator di mana mereka mempunyai kuasa untuk mengarahkan penurunan kandungan memudaratkan yang disiarkan di platform penyedia perkhidmatan,” ujarnya.

Ujarnya lagi dunia digital adalah ruang yang dikongsi bersama tanpa mengira usia, latar belakang, atau kedudukan dan ianya juga adalah ruang untuk masing-masing bekerja, berhubung, dan berkembang maju.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ruang ini selamat, bukan sahaja untuk diri kita hari ini, tetapi juga untuk generasi akan datang terutamanya kanak-kanak,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.