Malaysia-Australia Terus Perkukuh Kerjasama Pertahanan

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Malaysia dan Australia akan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pertahanan pada masa hadapan termasuk dalam isu keselamatan siber dan kecerdasan buatan (Al), kata menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) ke-4 yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles di Commonwealth Parliament Offices, Melbourne pada Selasa.

Beliau berkata, antara perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk hubungan pertahanan sedia ada, antaranya melalui Operasi Gateaway, eksesais seperti HARINGAROO dan Keris Strike dan Five Power Defence Arrangements (FPDA).

“Kedua-dua negara menghargai sumbangan masing-masing dalam konteks pengukuhan kerjasama sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Selain itu, Mohamed Khaled memaklumkan pada mesyuarat itu kedua-dua negara turut membincangkan soal pembangunan ketumbukan siber yang dilihat penting pada masa kini.

Beliau berkata, isu berkaitan perkembangan geopolitik serta pertahanan di ASEAN dan seluruh dunia turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan susulan Malaysia sedang memuktamadkan persiapan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.

“Australia mengiktiraf peranan yang dimainkan Malaysia dalam memeta ASEAN yang dilihat berfungsi dengan cukup baik dan negara tersebut akan sentiasa memberikan perhatian terhadapnya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kedua-dua buah negara juga akan memastikan rancangan kerjasama khususnya dalam pelan lima tahun ke hadapan diperkemas agar lebih berstruktur dan teratur, termasuk dalam soal meningkatkan keupayaan domain maritim serta pembangunan kapasiti pertahanan Malaysia.

Mohamed Khaled berada di Australia sejak 9 Disember lepas bagi lawatan kerja rasmi selama dua hari bagi memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara dua negara. – Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.