Kerajaan Peruntuk RM463 Juta Tangani Kesesakan, Tingkat Keselamatan Jalan Raya – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 11 Dis – Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan sebanyak RM463 juta untuk menambah baik sistem pengangkutan awam dan menangani kesesakan jalan raya, selaras dengan persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Katanya, fokus utama adalah meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang dan bandar-bandar utama.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) oleh Prasarana Malaysia Berhad sejak Jun 2024, yang berjaya mengurangkan masa menunggu penumpang daripada 40 minit kepada 13 minit menggunakan 20 van.
Selain itu, jelasnya, pelaksanaan Lorong Khas Bas yang diperkenalkan pada Julai 2023 di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, dan Jalan Klang Lama telah memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan jumlah penumpang harian.
“Kejayaan ini telah mendorong perlaksanaan lorong khas bas diperluaskan ke laluan baharu di Lembah Klang serta di Georgetown, Pulau Pinang mulai November 2024. Ini termasuk RM10 juta diperuntukkan bagi peluasan lorong khas bas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras, dan Jalan Gombak sepanjang 47 km.
“Bagi aspek keselamatan jalan raya pula, mesyuarat telah memutuskan untuk mewajibkan pemasangan Speed Limiter Device terhadap bas kategori Completely Knocked Down (CKD) mulai 1 Januari 2026 melalui Prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
“Langkah ini bertujuan meningkatkan pematuhan had laju dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan komersil,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.
Jelasnya, statistik sehingga November 2024 mencatatkan 5,939 kematian akibat nahas jalan raya, dengan purata 18 kematian sehari dan daripada jumlah tersebut, 4,014 adalah pengguna motosikal. Punca utama kemalangan maut termasuk kecuaian pemandu, memotong secara berbahaya, dan mengantuk ketika memandu.
“Data ini menyerlahkan lagi kepentingan penguatkuasaan undang-undang dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya. Kerajaan juga memberi perhatian serius kepada tren kemalangan yang meningkat berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah.
“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi dengan melaksanakan kajian menyeluruh yang diterajui MIROS. Ini termasuk perkongsian data serta sesi libat urus untuk memastikan pendekatan yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan dan kesesakan jalan raya.”
Ahmad Zahid juga yakin langkah-langkah ini mampu memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan, dan meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini. – UMNO Online