Hukuman Berat Menanti Pembuli Siber Dalam Pindaan Akta Kanun Keseksaan – Shamsulkahar
KUALA LUMPUR, 11 Dis – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli melihat pindaan kepada Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2024 (Akta 574) bertujuan mengadakan peruntukan baharu untuk menangani secara khusus isu mengenai buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau melalui apa-apa kaedah termasuk secara dalam talian yang sering berlaku kini.
Menurut beliau, dari tahun Januari hingga November 2024, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari, maka sudah tentu ini merupakan satu jumlah yang amat tinggi dan serius.
Katanya, pindaan Akta 574 melibatkan kesalahan buli secara komunikasi dalam pelbagai situasi berdasarkan cadangan pengenalan seksyen baharu 507b, 507c, 507d, 507e, 507f dan 507g ke dalam Akta 574.
“Seksyen baharu 507b adalah berkaitan kesalahan buli secara komunikasi dengan niat untuk menyebabkan mangsa mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan kepada mangsa dengan hukuman pemenjaraan sehingga tiga tahun atau denda.
“Manakalah seksyen baharu 507c adalah berkaitan kesalahan buli secara komunikasi yang berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu, distres, takut atau bimbang, boleh dikenakan pemenjaraan hingga satu tahun atau denda.
“Perbezaan antara sekyen 507b dan 507c adalah niat dan bukannya jenis perkataan atau laras bahasa yang digunakan oleh pembuli kepada mangsa. Bagaimanakah pihak pendakwa boleh menentukan niat atau mens rea pembuli tersebut,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Akta Kanun Keseksaan Pindaan No 2 (2024), di Dewan Rakyat semalam.
Mengulas lanjut kata Shamsulkahar, subseksyen baharu 507d (1) berkaitan kesalahan komunikasi buli dengan niat untuk menyebabkan, mangsa percaya bahawa kemudaratan akan menimpa dirinya atau orang lain boleh dikenakan pemenjaraan hingga 1 tahun atau denda.
Pada masa yang sama kata beliau lagi, mengapa hukuman kesalahan seksyen 507d (1) hanya dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun manakala kesalahan seksyen 507b boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun sedangkan kesalahan seksyen 507d (1) adalah dilihat sama serius atau sama berat?
“Subseksyen 507d (2) yang agak unik di mana sekyen tersebut adalah berkaitan kesalahan buli secara komunikasi yang mana pembuli mengetahui bahawa perbuatan itu boleh memprovokasi mangsa mencederakan dirinya atau orang lain.
“Bagaimana pendakwaan boleh menentukan samada pembuli tahu dan sedar perbuatan itu adalah kepada seorang mangsa yang lemah emosi dan cenderung untuk mencederakan dirinya, kerana mereka secara kebiasaannya, pembuli dan mangsa tidak mengenali satu sama lain secara peribadi melainkan di media sosial sahaja.
“Adakah doktrin undang-undang ‘thin skull rule’ terpakai untuk 507D(1) yang mana seolah-olah liabiliti kepada pembuli adalah muktamad, walaupun mangsa mempunyai ‘pre existing mental health condition’ yang menyebabkan mangsa mudah terkesan atau amat sensitif dengan buli,” ujarnya. – UMNO Online