Bung Moktar Kecam Ucapan Berbaur Hasutan Dan Retorik Murahan
KOTA KINABALU, 11 Dis — Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengkritik keras ucapan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang disampaikan semasa Majlis Pelancaran Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini.
Bung Moktar menyifatkan ucapan tersebut sebagai berunsur hasutan, penuh dengan retorik murahan, dan hanya menjatuhkan kredibiliti Kitingan sendiri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bung Moktar mendakwa bahawa tindakan Jeffrey Kitingan menuduh pihak lain sebagai pengkhianat adalah tidak berasas, memandangkan sejarah politik Kitingan sendiri.
“Sejarah tidak pernah lupa bahawa Jeffrey Kitingan juga pernah menjadi ahli Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa Jeffrey Kitingan terkenal dengan tindakannya melompat parti dan malah pernah bertanding melawan abangnya sendiri semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana tamakkan kuasa.
Menurut Bung Moktar, daripada menuding jari, Jeffrey Kitingan sepatutnya memberi perhatian kepada isu-isu yang lebih penting dalam GRS, seperti skandal rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.
Beliau menyatakan bahawa slogan ‘rumah kita, kita jaga’ yang dilaungkan oleh GRS adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah kerana keadaan pentadbiran yang hampir musnah akibat rasuah.
“Rakyat Sabah melihat skandal rasuah ini melibatkan hampir semua ahli kabinet dan pemegang jawatan dalam GRS seolah-olah seperti satu sindiket yang bertujuan untuk mencuri dan menipu rakyat,” kata Bung Moktar.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Jeffrey Kitingan menyedari bahawa pemimpin yang terbabit dalam perbincangan agihan keuntungan dan skandal video adalah daripada GRS sendiri, bukan UMNO.
“Ini sebenarnya pengkhianatan yang merosakkan masa depan Sabah,” tegasnya lagi. – UMNO Online