Titah Adendum, Inflasi Kos Perubatan Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Inflasi kos perubatan negara serta kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 merupakan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bertanya perdana menteri mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus dan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus pada 2023 yang lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus.

 

Dia mengemukakan soalan itu pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Dalam sesi sama, perdana menteri turut dijadualkan menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan lalu mengenai permohonan pengampunan Najib Razak.

Sementara itu, Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pada sesi soal jawab meminta menteri ekonomi menyatakan pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol dan menjelaskan pendekatan yang akan diambil bagi memastikan golongan terkesan menerima bantuan sewajarnya.

Turut menarik perhatian, soalan Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta menteri sumber manusia menyatakan statistik pampasan hilang upaya yang dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi 2023 serta usaha kementerian untuk mengekang kes tuntutan palsu.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024, dan RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024.

Turut dibawa untuk bacaan kali pertama ialah RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024, RUU Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024, RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 dan RUU Perkongsian Data 2024.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini sehingga 12 Dis.- Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.