Titah Adendum: Jangan Jadikan Ia Polemik Berpanjangan, Perlu Dimuktamadkan Segera

KUALA NERUS, 9 Dis – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman berpandangan mengenai titah adendum, UMNO sebagai parti tunjang dalam Barisan Nasional (BN) perlu lebih tegas dan realistik menggunakan saluran yang ada bagi tujuan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Manakala menurut Ahmad Razif, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mestilah bersikap terbuka dan berterus-terang dalam isu tersebut serta tidak mengambil langkah menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat.

“Apa yang penting, jika titah tambahan itu benar-benar wujud, hak Datuk Seri Najib Tun Razak mestilah segera dikembalikan.

“Bagi saya, isu ini tidak boleh dibiarkan menjadi polemik yang berpanjangan sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi mangsa keadaan dan ia mestilah segera dimuktamadkan secara bertanggungjawab.

“Yang jelas, pendirian dan kesepakatan pucuk kepimpinan serta akar umbi UMNO serta BN berhubung isu itu tidak dilihat remeh kerana kami akan kekal memperjuang dan mempertahankan maruah pemimpin dan parti kami,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu dalam satu kenyataan.

Ulas Ahmad Razif juga, pendirian tegas kepimpinan tertinggi BN yang sepakat membela nasib mantan Perdana Menteri itu tidak boleh dipandang sebelah mata oleh kerajaan.

“Malah, pendirian itu adalah senada dengan kehendak kebanyakan rakyat yang mahu Datuk Seri Najib diberikan hak dan keadilan, termasuk mengenai kewujudkan perintah tambahan tahanan rumah yang dititahkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

“Afidavit terbaharu Datuk Nizar Najib bahawa titah tambahan itu sememangnya benar-benar wujud telah menjadi pengetahuan umum yang tidak boleh dipandang mudah,” katanya lagi.

Sehubungan itu tambahnya, kenyataan tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan adalah tepat pada masanya.

Pendirian itu katanya telah ditegaskan mereka pada sambutan ulang tahun BN ke-50 di ibu negara pada Sabtu lalu.

Seterusnya, Ahmad Razif sependapat dengan kenyataan bahawa integriti BN sedang diperhatikan dan sesuatu perlu dilakukan bagi memperjuangkan hak dan keadilan untuk Najib.

“Sebagai sebuah parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, usaha itu sepatutnya menjadi lebih mudah.

“Keadaan itu jika tidak ditangani dengan lebih cermat, ia dikhuatiri akan menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit