Menteri Luar Mohamad Adakan Lawatan Rasmi Ke Arab Saudi Bermula Selasa

PUTRAJAYA, 9 Dis – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 10 hingga 14 Dis untuk menghadiri mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC).

Mohamad akan mempengerusikan mesyuarat itu bersama rakan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan.

SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama dan bertindak sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama iaitu politik, keselamatan, pertahanan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan dan sosio-budaya.

Kedua-dua Menteri juga dijadualkan menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu mengenai Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Sosial dan MoU mengenai Pengecualian Visa untuk Lawatan Jangka Pendek kepada Pemegang Pasport Diplomatik dan Rasmi atau Khas.

Mohamad juga akan terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi dengan Menteri-menteri Arab Saudi yang lain, termasuk Menteri Dalam Negeri Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz, dan Menteri Haji dan Umrah Dr. Tawfig bin Fazwan Al-Rabiah untuk membincangkan perkara yang saling berkepentingan dan meneroka bidang kerjasama baharu, dengan penekanan khusus terhadap sektor utama seperti keselamatan, visa, umrah dan haji serta kesalinghubungan

“Lawatan ini mempamerkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dan mengukuhkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam pelbagai sektor untuk kepentingan kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Arab Saudi dalam kalangan Negara Anggota ASEAN dan yang ketujuh terbesar di dunia.

Pada 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion).

Dari Januari hingga Ogos 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi bernilai RM30.09 bilion (US$6.43 bilion). – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.