KPWKM Galakkan Penubuhan TASKA Berdaftar, Elak Risiko Kecuaian Dan Penderaan
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja seperti program advokasi bagi meningkatkan kesedaran pelbagai pihak berkaitan TASKA antaranya melalui kempen Jom Daftar TASKA.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata sehingga Ogos 2024, terdapat 216 buah TASKA di tempat kerja yang diwujudkan di premis jabatan ataupun agensi kerajaan.
“Khidmat nasihat pendaftaran dan membuka kaunter maklumat pameran juga dibuka dalam program-program yang dianjurkan sama ada oleh agensi kerajaan maupun swasta.
“Selain itu juga mengaktifkan one stop center di setiap negeri bagi menyalaraskan keperluan pengusaha TASKA berusaha dengan pelbagai agensi teknikal seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan.
“KPWKM menggalakkan penubuhan TASKA bagi memenuhi kehendak masyarakat dan sentiasa bersedia untuk membantu memberi konsultasi berkaitan penubuhan TASKA kepada semua pihak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, ini kerana TASKA yang berdaftar bukan saja boleh memastikan kualiti dan standard asas perkhidmatan yang disediakan oleh premis dan pengasuh tetapi juga dapat mengurangkan risiko berlakunya kecuaian dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Dalam usaha untuk mencegah serta mengurangkan risiko daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini JKM tambahnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya termasuklah mengeluarkan garis panduan keselamatan kanak-kanak di TASKA berdaftar yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024.
“Dengan mengarahkan pegawai diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke TASKA bagi memastikan semua standard minimum yang ditetapkan oleh akta dan peraturan dipatuhi serta menyediakan perkhidmatan talian kasih 15999 yang membolehkan sebarang aduan penderaan dilaporkan pada bila-bila masa.
“Kementerian juga mulai tahun 2023 telah melancarkan program advokasi kanak-kanak dalam usaha memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat umum termasuk kanak-kanak itu sendiri pelajar sekolah, ibu bapa dan guru-guru terhadap hak kanak-kanak serta layanan yang layak dan sewajarnya untuk diterima mereka,” ujar beliau. – UMNO Online