Satu PPK Akan Disediakan Di Setiap Negeri Berisiko Banjir – Ahmad Zahid
SUNGAI BESAR, 8 Dis – Kerajaan sedang berusaha menyediakan sembilan pusat pemindahan kekal (PPK) bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada sekolah-sekolah yang kini digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika banjir.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu PPK akan dibina di setiap negeri yang berisiko tinggi banjir, berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi selepas bencana berlaku.
“Kita mendapati kos menyelenggara semula sekolah yang dijadikan PPS sangat tinggi, terutama apabila kelas-kelas perlu dibaik pulih. Lebih membebankan, ada sekolah yang tidak memiliki dewan serbaguna,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JLB) di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus dalam laporan media sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan bercadang membina sembilan PPK yang lengkap dengan kemudahan asas yang selesa di seluruh negara untuk kegunaan mangsa banjir.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata sebanyak 32 jambatan Bailey sedang disiapkan untuk diaturgerak ke lokasi terjejas banjir di seluruh negara
Beliau berkata ketika ini Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melaksanakan tindakan kejuruteraaan dan proses ujian tanah di tujuh lokasi yang dikenal pasti.
“Jambatan Bailey ini akan digerakkan ke kawasan yang mengalami kerosakan serius, seperti jambatan atau jalan runtuh yang tidak boleh dilalui. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada JKR dan Kor Jurutera ATM atas kerjasama yang diberikan,“ katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan dua jambatan Bailey telah mula dipasang di Kelantan, iaitu di Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Mengenai penyerahan JLB hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sebanyak RM17.7 juta digunakan bagi menaik taraf Jalan Nipah, Tali Air 13 dan Peket 100 di Daerah Sabak Bernam, melibatkan
penjimatan sebanyak RM400,000 daripada peruntukan asal RM18.1 juta.
Beliau berkata penjimatan tersebut wajar dicontohi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di daerah lain kerana melalui pemantauan yang baik oleh pihak kontraktor, JKR, dan kementerian, ia dapat memberikan manfaat besar kepada rakyat. – BERNAMA