Mohd Zaidy Seru Anggota BN Segera Bangkit, Fokus Kepada Matlamat Bersama

JEMPOL, 8 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidi Abdul Kadir, menyeru semua pihak khususnya pemimpin dan ahli-ahli Barisan Naional (BN) untuk segera bangkit daripada perpecahan dan fokus kepada matlamat bersama.

Tegas beliau dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan Konvensyen BN yang telah berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hal ini perlu dilaksana terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang semakin hampir.

“Sebagai ahli yang mendukung perjuangan parti, saya menyeru semua pemimpin dan ahli BN untuk segera bangkit daripada perpecahan ini. Konvensyen BN sepatutnya menjadi medan memperkukuh kerjasama dan menunjukkan kematangan politik, bukan medan untuk menambah jurang perbezaan.

“Jika kita terus membiarkan permasalahan dalaman menjadi tumpuan, BN bukan sahaja gagal menyelesaikan isu dalaman tetapi juga kehilangan peluang untuk meyakinkan rakyat bahawa kita adalah pilihan terbaik dalam PRU-16 akan datang,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi, konvensyen sepatutnya menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen dalam BN dan menunjukkan kematangan politik.

Namun, beliau mendakwa perbincangan lebih tertumpu kepada isu-isu dalaman yang meruncing, terutamanya kritikan terhadap kepimpinan BN oleh beberapa parti komponen.

Beliau juga menegaskan bahawa situasi ini menunjukkan bahawa sebahagian pemimpin masih tidak menyedari kelemahan dalaman BN dan gagal untuk bersatu bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut.

Dengan itu, beliau menyeru supaya semua pemimpin BN segera mengutamakan perpaduan dan kerjasama untuk menghadapi cabaran PRU-16 yang akan datang, demi memastikan BN kekal relevan dan menjadi pilihan terbaik kepada rakyat.

“Jika kita terus membiarkan permasalahan dalaman menjadi tumpuan, BN bukan sahaja gagal menyelesaikan isu dalaman tetapi juga kehilangan peluang untuk meyakinkan rakyat bahawa kita adalah pilihan terbaik dalam PRU-16,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit