Jubli Emas BN: Barisan Kepimpinan, Akar Umbi Jadi Tunjang Kekuatan Parti – Zambry

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Kekuatan yang masih dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) adalah barisan pemimpin yang berwatak sederhana dan akar umbi, kata Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja (MKT) UMNO berkata, sambutan ulang tahun BN ke-50 yang diadakan semalam menandakan genap lima dekad keberadaan parti ini dalam arena politik tanah air untuk membangunkan negara.

“Kita berhimpun sebagai menandakan genap lima dekad BN beraksi di tengah kancah dalam sebuah perjuangan panjang menuju cita-cita pendaulatan politik kerjasama; politik kongsi kuasa, politik sederhana, politik khidmat, politik pembangunan dan politik kestabilan negara bangsa.

“Terima kasih atas solidariti, seluruh komponen BN dan Friends of BN (FOB) yang datang dari seluruh pelusuk. Terima kasih Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi dan Presiden-presiden parti; UMNO, MCA,MIC dan PBRS.

“Tidak dilupai parti-parti seperti Indian Progressive Front (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Malaysia Makkal Sakti Party (MMSP), Parti Cinta Malaysia (PCM), Malaysian Indian United Party (MUIP), Parti Punjabi Malaysia (PPM) dan People’s Progressive Party (PPP) serta Pengerusi BN negeri-negeri, diiringi oleh seluruh ahli BN yang tetap setia dan cekal dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Tahun BN yang diadakan di Dewan Merdeka pada Sabtu.

Menurutnya, atas semangat perjuangan BN, para pemimpin dan ahli dari negeri-negeri yang terkesan akibat banjir turut hadir bersama-sama pada perhimpunan jubli emas tersebut.

“Kita semua terkesan dengan nasib rakan dan sahabat yang dilanda banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah serta lain-lain. Namun atas semangat BN, mereka tetap datang. Jumlah kehadiran hari ini melebihi 5,000 kesemuanya.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua peringkat parti komponen, Setiausaha Negeri-Negeri dan rakan-rakan FOB untuk setiap mesyuarat penyelarasan sangat membanggakan. Terima kasih Wanita, Pemuda dan Puteri BN yang turut mengadakan majlis sampingan sejak pagi tadi.

“Terima kasih Pengerusi BN yang menjadi contoh teladan terbaik dan diakui sendiri oleh Perdana Menteri akan kesungguhan beliau mempengerusi dan menggerakkan pelbagai langkah bantuan serta gerakan. Pagi tadi, sekali lagi menjadi bukti komitmen BN untuk misi bantuan pasca banjir,” katanya lagi.

Jelasnya, BN tetap tampil dengan semangat keberanian untuk menepis fitnah yang dihalakan oleh pihak lawan sehingga pada akhirnya menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Di sebalik hempas pulas, serangan pelbagai arah, kita tampil dengan semangat keberanian mengemuka kebenaran dan melawan kemungkaran fitnah. Kini BN adalah bahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Dalam perjalanan lima dekad BN, terakam deritanya sendiri. Tetap ia juga punya kisah kegemilangannya. Krisis besar telah terjadi… tetapi krisis besar itulah juga yang kita rubah menjadi kesempatan. Ini kerana kita bukan parti yang menggempur, mendobrak dan menghancurkan. Kita adalah membina.

“Tahniah diucapkan kepada negeri-negeri yang sudah mengadakan konvensyen BN Bagi negeri yang belum mengadakan telah berjanji untuk melaksanakannya sebaik sahaja himpunan kita hari ini berakhir,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar kehadiran seluruh pemimpin BN pada perhimpunan tersebut menjadi sebuah langkah ke hadapan untuk menggapai idea dan membina semula parti.

“Izinkan saya sebelum mengakhiri ucapan ini, tanpa berkhayal atau diulit oleh sindrom penafian (denial syndrome) akibat kekalahan BN yang lalu, bagi mengingatkan kita sesebuah institusi politik yang seperti BN ini tidak didirikan untuk kita membiarkan keruntuhannya.

“Kekuatan yang masih kita miliki adalah akar umbi, barisan pimpinan yang berwatak sederhana dan pembina negara, perpaduan dan komitmen politik khidmat yang hebat. ‘Great institutions are not built to fall; they are forged to endure, to adapt, and to rise again stronger than before. Barisan Nasional’s legacy is its strength, and its future lies in its unity and unwavering commitment to the people’.

“Semoga dengan kehadiran sekalian, kita menandakan langkah ke hadapan buat BN menggapai idea segar membina kembali secara tuntas BN dan menjadi jurubicara dan pembawa cita-cita rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit