Ulang Tahun BN ke-50: Mohd Noor Seru Kepimpinan, Akar Umbi Pererat Kerjasama
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi Barisan Nasional (BN) untuk mempererat kerjasama sempena menyambut ulang tahun ke-50.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berkata, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu menyaksikan bahawa tiada satu pun parti yang berjaya untuk membentuk kerajaan secara majoriti.
“Sebelum PRU ke-15, UMNO dan beberapa parti komponen BN masuk pilihan raya, lalu menubuhkan Kerajaan Persekutuan sebab ada majoriti mudah lebih 112 Ahli Parlimen.
“Tetapi, pasca-PRU ke-15 menyaksikan tiada mana-mana parti mempunyai majoriti mudah. Atas nasihat Yang Di-Pertuan Agong, UMNO dan BN mengambil bahagian dalam proses menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selepas PRU ke-15 menunjukkan bahawa UMNO/BN terus mencermati penjajaran politik yang telah pun berlaku.
“PRN di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang menyaksikan UMNO dan BN terus mencermati perubahan lanskap pilihan raya dan penjajaran politik yang tak terhenti.
“UMNO dan BN mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH). Di Pulau Pinang pun ada wakil rakyat UMNO yang berjaya menjadi Exco Kerajaan Negeri dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.
Tegasnya, MIC dan MCA yang merupakan parti gabungan dalam BN juga perlu mempererat kerjasama agar boleh menjadi pilihan rakyat pada PRU akan datang.
“Bersempena sambutan ulang tahun BN ke-50 yang ditubuhkan pada 1 Januari 1973, saya ingin mengajak seluruh kepimpinan dan akar umbi parti BN untuk terus mempererat kerjasama.
“Bukan sahaja UMNO, malah MIC dan MCA wajar mempererat kerjasama agar boleh menjadi opsyen untuk rakyat Malaysia pada PRU akan datang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa perubahan landskap politik selepas PRU ke-15 merupakan peluang kepada BN untuk memperkukuhkan kedudukannya.
“Perubahan lanskap politik negara pasca PRU ke-15 adalah peluang kerana tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah. Penjajaran politik yang UMNO dan BN sedang buat juga adalah suatu peluang untuk memperkukuhkan lagi kedudukan dalam arena politik.
“Bukan sahaja UMNO malah MCA dan MIC juga mesti dijana kekuatannya sehingga boleh menjadi ‘opsyen’ untuk rakyat Malaysia. Barulah BN boleh kembali mendominasi lanskap politik negara pada PRU akan datang,” katanya lagi.
(BN) akan menganjurkan sambutan Jubli Emas bersempena ulang tahun ke-50 parti itu pada hari Sabtu ini.
Acara bertemakan “Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa” ini akan berlangsung di Dewan Tun Razak 4 dan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Sambutan dijangka akan menghimpunkan kehadiran kira-kira 5,000 orang daripada seluruh negara, termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen, dan para penyokong. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman