Generasi Pemacu Masa Depan Negara, Puteri UMNO Seru Perubahan Dan Penglibatan Anak Muda
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan pentingnya peranan generasi muda dan wanita dalam menentukan hala tuju negara serta masa depan parti politik khususnya Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, generasi muda bukan sekdar aset tetapi pemangkin perubahan yang akan mencorakkan wajah Malaysia.
“Ini adalah generasi kita yang mencerminkan dan pasti mencorakkan negara Malaysia. Ini tidak boleh diabaikan oleh parti dan zaman serta generasi ini adalah masa depan semua.
“Jangan abaikan orang muda dalam parti politik dan jangan abaikan wanita dalam parti. Apa pun kita mahukan generasi Pemuda dan Puteri terus bergaya mencorakkan parti supaya BN dapat melonjakkan sokongan kepada BN,” katanya pada program Era Baharu Anak Muda BN di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Barisan Nasional (BN) menganjurkan sambutan Jubli Emas bersempena ulang tahun ke-50 parti itu pada hari ini.
Dilaporkan, acara sambutan ini bertemakan “Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa” ini akan dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Sambutan ini akan menghimpunkan kehadiran kira-kira 5,000 orang daripada seluruh negara, termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen, dan para penyokong. – UMNO Online