Ahmad Zahid Yakin BN Mampu Jadi Sebuah Kuasa Dinamik
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Barisan Nasional (BN) mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional, sekali gus mencorakkan hala tuju parti yang lebih kukuh dan berdaya saing sekaligus mengukuhkan kembali sokongan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti perlu menyusun semula kekuatan dan masing-masing seharusnya tidak terbuai dengan kejayaan pertempuran kecil sehingga lupa agenda yang lebih besar.
Menurut beliau tiga kerangka untuk langkah ke depan yang boleh dirungkai bersama antara lain adalah penjenamaan semula BN yang mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa.
“Dengan pendekatan proaktif, inklusif, dan inovatif,- BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman. Pendekatan Brand Humanization contohnya boleh memperkukuhkan usaha ini dengan menunjukkan sisi BN yang lebih mesra dan manusiawi.
“Pemimpin perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat. Sikap rendah hati ini akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.
“<Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen, dan pengisian media sosial sekaligus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda dan generasi digital,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Emas BN di sini, petang tadi.
BN hari ini menyambut ulang tahunnya ke-50 dengan pelbagai pengisian program yang bermula awal pagi tadi. Turut serta pada sambutan berkenaan pimpinan-pimpinan parto komponen BN serta rakan gabungan yang lain.
Ahmad Zahid Hamidi seterusnya menambah langkah keduanya adalah mentakrifkan semula atau (Redefine) parti berkenaan untuk langkah ke depan termasuklah visi dan misi yang jelas, selaras dengan aspirasi Malaysia yang berpaksikan masa depan.
“Kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan perlu mengikut kepada acuan masyarakat yang rencam dan pelbagai. Dahulu, pendekatan kita lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat. Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat.
“Malah, BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme. Pemimpin harus menjadi penyelesai masalah yang cekap dan fokus kepada dasar berimpak besar kepada rakyat.
“Ketiga, menyusun semula atau (Realign). Dalam politik… ‘no permanent enemies, no permanent friends’. Selain mempererat hubungan dengan rakan politik, BN juga perlu memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat, serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama,” ujarnya.
Ujarnya lagi begitu juga pendekatan pemilihan calon yang perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan buat mereka yang aktif di lapangan.
“Kejayaan di Nenggiri dan Mahkota adalah tindakan yang tepat mengikut kehendak rakyat. Jadi, kita susun sebaiknya, kenalpasti calon berpontensi lebih awal.
Saya yakin dengan gerak langkah baharu ini BN mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional, sekali gus mencorakkan hala tuju parti yang lebih kukuh dan berdaya saing,” tambahnya.- UMNO Online