Peranan BN Penting Dalam Landskap Politik, Kerjasama Wujudkan Kestabilan
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Barisan Nasional (BN) sepanjang khidmatnya telah memainkan peranan penting dalam landskap politik Malaysia terutama memberikan kestabilan kepada negara, kata Exco Puteri UMNO Malaysia Dayang Nurazlin Nordin.
Katanya, BN telah membantu mengekalkan stabiliti politik di Malaysia selama beberapa dekad melalui pendekatan konsensus dan kerjasama antara pelbagai parti yang terbukti telah berjaya mengurangkan ketegangan etnik dan politik.
“Pentadbiran BN menyaksikan Malaysia mencapai pembangunan infrastruktur yang pesat.
“Di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, selain memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Menurut beliau melalui itu BN juga telah berjaya mentransformasi negara dengan meningkatkan berpendapatan rakyat, memperbaiki kualiti hidup serta merapatkan jurang pembangunan antara Malaysia Timur dan Barat.
“Walaupun BN menghadapi cabaran dan kritikan dalam beberapa tahun terakhir, sumbangannya terhadap pembangunan negara dan kestabilan politik adalah signifikan dan tidak boleh diabaikan,” ujar beliau.
Di samping itu Dayang turut sama berkata penting untuk BN perlu kekal dominan dalam mendepani landskap politik mencabar pada masa mendatang.
Katanya ia perlu dilaksakan menerusi beberapa langkah termasuk pendekatan bersama dengan rakyat menggunakan platform bersemuka dan digital, serta pengukuhan hubungan antara rakan-rakan komponen.
“BN juga perlu memanfaatlan platform media sosial untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada rakyat dengan lebih efektif juga dengan mendekati masyarakat, mendengar kehendak dan masalah mereka, serta memberikan penyelesaian yang relevan.
“Melalui strategi komunikasi yang berkesan boleh membantu membentuk persepsi positif terhadap BN. BN juga perlu memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam BN agar dapat bertindak sebagai satu pasukan yang padu. Ini termasuk penyelarasan dalam pemilihan calon dan strategi kempen,” ujar beliau. – UMNO Online