Pemuda Komited Perkukuh Perpaduan BN, Terbukti Modul Terbaik – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa Pemuda BN komited untuk memperkukuh kedudukan BN sebagai sebuah keluarga politik yang padu dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan.

Menurut beliau, pendekatan yang diambil oleh Pemuda BN adalah untuk memastikan semua parti komponen seperti MIC, MCA, dan PBRS bukan sekadar sekutu, tetapi benar-benar menjadi keluarga dalam BN.

“Pemuda BN mengambil satu pendekatan bahawa MIC, MCA dan PBRS bukan saja kawan tapi mereka adalah keluarga BN dan pasti ada pasang dan surut. Apa sekali pun BN perlu diperkukuhkan dan diperkuatkan untuk menghadapi pilihan raya mendatang.

“Sudah tentu modul perpaduan yang ada dalam BN ini adalah modul yang paling baik dan telah dibentuk sejak tertubuhnya negara ini. Modul yang terbaik ini harus diteruskan dan parti-parti komponen bukan saja sebagai kawan tetapi ia lebih dari kawan serta mereka adalah keluarga BN.

“Pemuda BN ingin melahirkan generasi muda yang berkaliber dan buktinya sudah ada masa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggiri dan Mahkota dan menang dengan begitu baik. Sudah tentu perkara ini dititikberatkan era baharu anak muda BN ini dan membawa gaya politik, pemikiran yang baharu dan inilah masa depan negara yang bermula dari generasi muda BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas mesyuarat Pemuda BN, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyeru semua pihak dalam BN untuk terus bersatu padu demi memperkukuhkan sokongan rakyat.

“Apa-apa yang berlaku kita harus bertaut kembali dan ia memberi satu signal yang kuat bagi rakyat di luar sana bahawa Pemuda BN bukan berseorangan dan keputusan adalah bersama maka ini bukan saja untuk orang Melayu, Cina, India, Bumiputera tapi ini adalah perkara yang akan dibawakan.

“Prinsip perjuangan parti tetap utuh dan sudah tentu akan teruskan polisi-polisi yang bagus dan percaya dengan pendekatan yang baharu oleh generasi muda BN ini mampu bertahta di setiap hati rakyat.”

Pada masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Jasin itu yakin bahawa generasi muda BN akan menjadi suara lantang yang membawa aspirasi rakyat ke peringkat tertinggi.

“Ini akan menjadi satu titik tolak permulaan bagi generasi BN yang akan paling lantang membawa suara rakyat di bawah ini,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit