Manifestasikan Rancangan BN, Bawa Agenda Rakyat Lima Tahun Mendatang

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan rancangan Barisan Nasional (BN) seumpama Rancangan Malaysia perlu dilaksanakan sebagai manifestasi kepada komitmen parti dalam membawa agenda rakyat untuk tempoh lima tahun mendatang.

Beliau berkata, rancangan ini perlu berteraskan kepada empat bentuk yang meliputi ekonomi dan pembangunan masyarakat.

Menurut Dr Sivamurugan melalui ini ia berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada gabungan parti politik ini.

“Saya usulkan barangkali perlu rancangan BN sebagaimana kita lihat pada Rancangan Malaysia dan sebagainya iaitu rancangan BN bermula pada tahun 2025-2030 setiap lima tahun.

“Dengan membawa satu bentuk rancangan dengan empat teras iaitu kestabilan politik, memancu ekonomi, melihat kepada soal nilai sejahtera dalam kalangan masyarakat dan melihat kepada roh hubungan etnik.

“Jika empat ini jadikan sebagai rancangan BN 2025-2030, kemudian 2031-2035 dan seterusnya dengan teras empat ini yang mencorak mewarnai sirah pembentukan BN, itu mungkin boleh mengembalikan roh kepada keyakinan dan kepercayaan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Rekalibrasi Barisan: Perspektif Intelektual Untuk Masa Depan yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Antara panel yang bersama dalam diskusi Profesor Wong Chin Huat (Universiti Sunway) dan Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani (Universiti Utara Malaysia). Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dr Sivamurugan dalam pada itu turut berkata teras tersebut juga perlu perlu mengambil kira beberapa faktor yang disingkat beliau sebagai TERAJU.

Menurut beliau ia sebagai panduan dalam melaksanakan rancangan BN yang bersifat idealistik dalam memacu jalinan di antara parti dan rakyat.

“Antaranya adalah Terima hakikat adanya perubahan, soal Ekuiti perlu juga diambil kira merentasi semenanjung Sabah dan Sarawak, keteRangkuman, keAdilan dan kesaksamaan, Jurang di antara masyarakat dan mempertahankan Undang-undang iaitu kekuatan yang terbina daripada perlembagaan dan rukun negara.

“Kesimpulannya, ia adalah TERAJU supaya boleh keluar daripada kepompong keselesaan yang terbina sehingga ke 2018.

“Jadi jika itu boleh dijadikan kepada teras rancangan BN dengan empat teras dan kemudian membina enam teras TERAJU yang boleh terus menyumbang kepada kekuatan BN pada masa akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit