Konvensyen BN Manifestasi Mengukuh Parti Depani Dinamika Politik

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Naib Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nurul Ashikin Mohamad Rafi menyifatkan konvensyen Barisan Nasional (BN) sempena ulang tahun BN ke-50 pada Sabtu ini manifestasi kepada memperkukuh parti gabungan ini mendepani dinamika politik mendatang.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju berkata ia juga sebagai penyatuan dalam menggorak langkah kebersamaan terutama dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRN16).

“Kepimpinan Puteri Wilayah Persekutuan berharap segala yang dibahaskan dalam konvensyen BN Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam mendepani PRU16 akan datang.

“Beri peluang kepada pucuk pimpinan BN Wilayah menunjukkan komitmen dan harapan kepimpinan parti BN khususnya,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Nurul Ashikin dalam pada itu turut menyifatkan keberadaan parti gabungan BN sedia ada ketika ini berupaya memperteguh sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sekaligus memastikan kestabilan politik negara berterusan.

Sementara itu beliau turut sama mengulas lanjut berkenaan pasca Konvensyen BN Wilayah Persekutuan yang diadakan baru-baru ini, menurutnya UMNO/BN wajar mempertahankan kerusi yang dimiliki sebelum ini pada pilihan raya akan datang.

“Bagi saya gabungan yang sedia ada untuk memperkukuh sokongan parti dengan rakan-rakan komponen untuk membentuk kerajaan gabungan sememangnya memerlukan parti UMNO/BN itu sendiri untuk menjadi kerajaan yang kukuh, dinamik dan stabil.

“Sempena Konvensyen BN Wilayah Persekutuan yang lalu pada pandangan saya perlunya kerusi yang milik BN diberikan balik kepada UMNO/BN… ini sememangnya kerusi BN,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit