AURA: Ahmad Zahid Galak Usahawan MARA Manfaatkan Kepengerusian ASEAN
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggalakkan para usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memanfaatkan peluang memperkenalkan produk mereka sempena kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2023/2024 diadakan untuk mengiktiraf usaha dan kejayaan usahawan MARA dan untuk menyuntik semangat mereka.
“Malam tadi, saya telah hadir ke Putrajaya untuk merasmikan dan menyampaikan anugerah di Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2023/2024, sebuah acara berprestij yang mengiktiraf kejayaan para usahawan yang berwibawa, kompetitif dan menjadi inspirasi kepada masyarakat dalam bidang perniagaan.
“Majlis ini bukan sahaja untuk mengiktiraf usaha dan kejayaan usahawan MARA, tetapi juga untuk menyuntik motivasi kepada mereka agar terus melangkah lebih jauh. Bukan sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi juara di peringkat ASEAN dan dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, keseluruhan jualan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang diadakan di Dubai baru-baru ini mencatatkan hasil membanggakan apabila negara telah berjaya merekodkan jualan sebanyak RM2.2 bilion.
“Semasa berucap, saya telah kongsikan kejayaan luar biasa yang telah dicapai oleh 15 usahawan MARA di MIHAS@Dubai baru-baru ini di mana mereka telah memperoleh tempahan jualan mencecah RM130 juta.
“Lebih membanggakan, keseluruhan jualan di MIHAS@Dubai selama tiga hari telah mencatatkan jualan sebanyak RM2.2 bilion. Ini adalah bukti nyata keupayaan usahawan kita untuk bersaing di pasaran global,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa pentingnya usahawan MARA untuk meningkatkan kecekapan melalui digitalisasi dan berharap agar penghargaan diberikan dapat terus memberikan inspirasi.
“Sebagai persediaan untuk Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan, saya amat menggalakkan para usahawan MARA untuk memanfaatkan peluang ini bagi memperkenalkan produk mereka ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“Saya juga turut mengingatkan bahawa pentingnya usahawan MARA untuk meningkatkan kecekapan melalui digitalisasi, mempelbagaikan produk dan perkhidmatan, serta mengurus kewangan dengan bijak.
“Tahniah saya ucapkan kepada para penerima anugerah AURA 2023/2024. Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi untuk anda semua terus mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online