Ahli BN Perlu Bersikap Rasional, Depani Realiti Politik Hari Ini – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berpandangan ahli parti perlu bersikap rasional dan tidak hanya berada dalam dunia sendiri atau echo chamber yang sekaligus menafikan realiti politik hari ini.

Menurut beliau sikap sebegini hanya kerana merasakan kelompok yang dinaungi dalam keadaan terbaik tanpa mengambil kira pandangan lain.

“Jangan terperangkap dalam apa yang disebut sebagai echo chamber, merasakan bahawa lingkungan kita itulah yang terbaik. Pemikiran dirasakan ini sahaja tidak mahu mencari jalan-jalan yang lebih konstruktif, operatif.

“Bagaimana parti-parti yang ada di seluruh dunia mereka mengubah pendekatan tetapi disebabkan oleh pemikiran echo chamber ini kita merasakan bahawa parti itu belum berubah dengan memberi fokus hanya kepada satu faktor.

“…seringkali kita melihat hanya satu individu atau pemimpinnya sedangkan bukan hanya melibatkan mesti tukar pemimpin sebab itu dalam penyelesaian difikirkan… tidak sebenarnya. Kalau lihat dari segi apa yang disebutkan pada hari ini ialah ekosistem yang ada di hadapan kita, perubahan-perubahan yang berlaku di hadapan,” katanya.

Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata demikian pada Forum Rekalibrasi Barisan: Perspektif Intelektual Untuk Masa Depan yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Antara panel yang bersama dalam diskusi Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian (Universiti Sains Malaysia); Profesor Wong Chin Huat (Universiti Sunway) dan Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani (Universiti Utara Malaysia).

Dr Zambry dalam pada itu turut sama berkata panelis dalam forum tersebut menyimpulkan bahawa BN sebagai parti yang berjaya mengemudi negara sejak awal penubuhannya.

Tambahnya ini termasuk membawa banyak perubahan kepada kejayaan negara yang sekaligus membuktikan keupayaannya menerusi dukungan parti-parti yang memayungi.

“Selama 50 tahun BN membawa erti keamanan dan kestabilan saya fikir ketiga-tiga panel ini bersetuju dengan apa yang dibawa oleh BN yang menjadikan Malaysia dengan keadaan yang pada hari ini berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lain.

“Tetapi untuk benda bernostalgia tidak cukup… kalau nostalgia dengan apa yang ada kita berasakan bahawa parti ini akan sentiasa dipilih… tidak begitu,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit