RCI Batu Puteh: Siasat Segera Tun M, Jual Kedaulatan Negara Mesti Dihukum Berat – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dipandang serius.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata demikian ekoran keputusan RCI yang telah diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

“Laporan RCI mengenai kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah diedar kepada ahli parlimen dan dianggap terbuka.

“Antara syor yang dikemukakan ialah siasat Tun Mahathir atas kesalahan jenayah. RCI syor guna seksyen 415(b) Kanun Keseksaan. Tun boleh boleh dihukum bawah seksyen 417 Kanun sama dan juga seksyen 418 Kanun yang sama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Puad, laporan polis dengan segera perlu dilakukan berdasarkan pendedahan daripada laporan tersebut yang menyebut keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah berdasarkan surat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

“Justeru jangan buang masa. Buat segera laporan polis. Jual kedaulatan negara mesti dihukum berat. Negara hilang wilayah secara kekal. Tidak boleh diganti dengan wang ringgit.

“Duit 1MDB yang hilang dapat dikutip semula. Tanah 1MDB juga tidak hilang. Projek TRX siap dan ada hasil. Tetapi Batu Puteh, jangankan tanah, duit satu sen pun tidak dapat balik. Maka jangan ada kompromi. Jangan banyak alasan. Jangan berlengah,” ujar beliau.

Laporan RCI juga menunjukkan keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula pada jam 9.30 pagi.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, Perdana Menteri (pada 2018) yang membuat keputusan sembunyi-sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika menjawat Perdana Menteri pada 2022, mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir sehingga Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008.

Pada 2008, ICJ memutuskan memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit