KDN Komited Banteras Jenayah Rentas Sempadan – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited dalam membanteras jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand seperti aktiviti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, senjata api dan barang bersubsidi.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, beberapa langkah telah diambil untuk memberi fokus bagi memantapkan lagi keselamatan di sempadan negara.

“KDN selaku kementerian yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam memainkan peranan amat penting untuk menyediakan platform selamat serta aman bagi menyokong pembangunan negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan, kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia Madani dicapai.

“KDN melalui Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PGA, PDRM) terlibat secara langsung untuk penugasan kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Dalam usaha untuk membanteras kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, senjata api dan barang bersubsidi melalui sempadan Malaysia-Thailand, KDN melalui PDRM telah mengambil beberapa langkah dengan memberi fokus aspek-aspek kawalan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa sesi soal jawab di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, OP Taring Wawasan merupakan operasi penguatkuasaan sempadan secara berterusan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“OP Taring Wawasan merupakan operasi penguatkuasaaan sempadan secara berterusan di bawah PGA, PDRM di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) yang telah ditetapkan melalui Jawatankuasa Perancang Kebangsaan (JPGK), Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang meliputi kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Operasi tersebut melibatkan penugasan pegawai dan anggota Briged Utara PGA bagi kawasan Perlis serta Kedah, manakala Briged Tenggara PGA bagi kawasan Kelantan.

“Berdasarkan statistik PGA, PDRM dari tahun 2023 hingga 30 November 2024, OP Taring Wawasan telah merekodkan 3,397 kes dan 4,610 tangkapan dengan nilai rampasan RM373.99 juta. Antara kes-kes yang terlibat adalah melibatkan kesalahan berkaitan penyeludupan dadah, rokok, minuman beralkohol, petrol, diesel, dan pendatang tanpa izin,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa PDRM telah bekerjasama dengan beberapa agensi untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan imigran.

“Dalam usaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, PDRM turut bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan melalui Seksyen 27 Akta Antipemerdagangan Orang, Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menjalankan operasi bersepadu secara berkoordinasi dan berkesan.

“Berdasarkan statistik pemerdagangan orang pada tahun 2021 sehingga 31 November 2024 telah merekodkan sebanyak 523 kes dan 1,091 tangkapan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, PGA dan PDRM juga telah mengguna pakai teknologi kamera litar tertutup di kawasan sempadan untuk memperkukuhkan lagi keselamatan.

“Ke arah memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara, PGA, PDRM turut telah mengguna pakai teknologi kamera litar tertutup iaitu Border Surveillance System di sebahagian kawasan pagar dan tembok sempadan di Padang Besar, Perlis.

“Pada masa yang sama, PGA, PDRM dalam perancangan penggunaan teknologi dalam membuat kawalan atau risikan keselamatan di kawasan operasi. Sebagai makluman, PGA telah diluluskan peruntukan perolehan aset berteknologi di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP1,RMK ke-12) bagi perolehan empat unit Drone Vertical Take Off and Landing (VTOL) dengan kos sebanyak RM 12 juta dan perolehan lima unit Mobile Surveillance Thermal Radar dengan kos RM7.5 juta di bawah RP2, RMK ke-12. Kedua-dua aset tersebut sedang dalam proses pembekalan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit