Jubli Emas BN: Keberhasilan Dan Pengajaran Untuk Masa Depan

TANGGAL 1 Jun 1974, Barisan Nasional (BN) secara sah menjadi sebuah parti politik di negara kita. Penubuhannya disulami dengan nawaitu yang suci dan bersih bagi melihat kehidupan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia terus mendapat pembelaan sewajarnya. Bagaikan ayah kepada anak-anak, begitulah posisi BN dalam kehidupan masyarakat kita pada zaman tersebut.

Walaupun masyarakat mempunyai pilihan lain untuk memilih pemimpin dan meletakkan ideologi perjuangan mereka, namun majoriti masyarakat Malaysia telah meletakkan sepenuh kepercayaan yang tinggi kepada tatakelola BN dalam negara ini.

Kesannya, sejak tahun 1974 sehingga 2018, yang mencorakkan wajah Malaysia adalah BN. Baik atau buruknya Malaysia di mata masyarakat sendiri atau pandangan jiran serantau mahupun dunia luar, ia terletak kepada kecerdikan pemimpin BN pada masa itu.

Tidak boleh dinafikan lagi, Malaysia ini terbina dan terbawa oleh ‘patern’ BN sejak merdeka yang sebelumnya adalah Parti Peritakan. Sebab itulah, pembentukan ‘Kerajaan Tanpa BN’ di peringkat persekutuan tidak mampu diurus dalam tempoh yang lama.

Walaupun Perdana Menteri bagi ‘Kerajaan Tanpa BN’ adalah bekas Pengerusi BN paling lama, namun kerajaan tersebut hanya mampu bertahan kira-kira 1 tahun 9 bulan sahaja.

Maaf, bukan dengan niat untuk mendabik dada atau berbangga diri, namun ingin dirakamkan bahawa negara ini yang telah dibina oleh ‘otak BN’ sejak sekian lama harus diurustadbir oleh ‘otak BN’ juga. Namun, metodnya mungkin berbeza dari sebelumnya. Jika dahulu BN menjadi parti tunggal yang berada dalam kerajaan, namun sekarang tidak lagi. BN terpaksa akur dengan argoritma politik semasa.

Tidak kisahlah bagaimana metodnya, asalkan BN harus berada di dalam Jemaah Menteri dan kepimpinan kementerian. Menyedari hakikat itu, maka Perdana Menteri Kelapan telah menjemput BN untuk bekerja bersama-sama beliau bagi memastikan untung nasib masyarakat Malaysia terus terpelihara, apatah lagi semasa pandemik COVID-19.

Pun begitu, tidak tertahan dengan cabaran dan dugaan yang menimpa, akhirnya kita akur untuk menyerahkan semula kedudukan Perdana Menteri kesembilan kepada pemimpin dari BN. Walaupun bukan Pengerusi BN yang menjadi Perdana Menteri, namun tatakelola Kerajaan Malaysia semasa itu dapat direncana sehabis baik. Petuanya adalah BN.

Pasca-PRU15 memperlihatkan kepada kita senario berbeza. Selepas beberapa hari negara ini tiada Perdana Menteri Kesepuluh, maka akhirnya musuh tradisi BN (Pakatan Harapan) telah dilantik sebagai Ketua Kerajaan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ini merupakan detik paling cemas buat keluarga besar BN selepas kekalahan pada PRU14 yang lalu. Mana mungkin BN boleh duduk semeja dengan musuh tradisi yang didalamnya ada Dap. Sedangkan siang malam pagi petang kita telah dimomokkan dengan keburukan Dap oleh sistem doktrinisasi parti.

 

Atas paksi kepintaran Pengerusi BN, maka parti kita tidaklah seperti digambarkan oleh kebanyakan orang yang bermulut ‘busuk’. Peranan dan sudut duduk BN dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi PH amat baik dan strategik. Dengan satu Timbalan Perdana Menteri, enam kementerian besar (menteri) dan enam timbalan menteri, BN bukanlah sekadar pelengkap korum, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai ‘otak kanan Kerajaan Perpaduan’.

Kita mengharapkan pada usia 50 tahun BN ini, para pemimpin kita mampu memberi sentuhan-sentuhan emas kepada masyarakat melalui portfolio masing-masing dan tidak mengulangi duka lara dan khilaf sebelum ini.

Semoga masyarakat MADANI dapat diterjemahkan sehabis baik dalam ruang lingkup kehidupan kita bagi tahun-tahun yang akan datang, Insya-Allah.

“Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa”


Sarfarizmal Md Saad
UMNO N9 Comms

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit